Pages Navigation Menu

“Melayu – Tanah Jawi Itu Di Sini”

Posted on Feb 9, 2013 | 2 comments

Al fatehah..

Dedikasi kepada sekian pejuang.. Ahli Allah, ahli syahid, insan yang terinaya dan diinayai, sekian ibu-ibu (perwisa yang senyap) dulu sekarang dan akan datang..
Buat mu Habibullah Ya Rasulullah.. Salallahualaihi Wassalam.

“MELAYU – Tanah Jawi Itu Di Sini”

Dulu..
Di sini..
Di sini ini..
Bermula bicara
Di atas gunung berdiri cerita
Tinggi Beruas turun ke lembah
Hulu semenanjung sampai ke Manjung
Gangga Negara nama ditanda
Menjulang tinggi adaban dunia..

Dulu..
Di sana..
Di sana itu..
Ditulis surat
Persuratan tua buat umat
Tamra ditanda batu bersurat
Tinggal sepi dalam negeri Megat..
Di Kuala Berang terpecah urat..

Sayup terdengar jeritan kelam..
Ini negeri Megat Panji Alam..!
Banyak wali Allah dan banyak pula Ahlul Bay’tul Rasul..!
Diwartakan buat kalian anak cucu umat Muhammad SAW..
Di sini.. Dalam akhir zaman..
Ini..

Maka tersurat…
Apa yang tersirat…

“Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka..
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam..
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya..
Di benua ku ini penentu agama Rasulullah Salallahualaihi Wassalam.
“DI BENUA KU INI PENENTU AGAMA RASULULLAH SALALLAHUALAIHI WASSALAM..!”
Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya..
DI DALAM BUMI INI PENENTU FARDHU PADA SEKALIAN..!
Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar..
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka;
Tuhan..
Tuhan..
Tuhan yang menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama..!
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala..
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua..”

“KELUARGA DI BENUA JAUH KAN DATANG BERIKAN..”

“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”

Dulu..
Di atas..
Di atas sana..
Tersurat hikayat Merong Maha Wangsa..
Kalha.. Kataha..
Nama tercipta Negeri Kedah Tua
Sheikh Abdullah al-Qaumiri dan Sultan Muzzafar sendiri..
Berjanji teguh adinda kekanda..
Gunung Jerai ke Langkasuka..

Dulu..
Di bawah..
Dan di seberang sana..
Berteguh janji bapa saudara
Demang Lebar Daun juga Sang Sapurba
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya,
Adil saksama ganjaran di beri
Memberi malu tidak sekali”

Hikayat berlalu pecah gelora
Parameswara jadi Maharaja
Jadi lambang daulat negara
Kekallah Melaka jadi seadanya..

Dulu..
Di bawah sana..
Sultan Mansur Syah dan Bendahara Seri Paduka Raja
Tun Perak dan Laksamana Tun Tuah memacu tenaga
Lekir di hilir, Lekiu di hulu
Jebat-Kasturi tinggi berdiri..

Hilang..
Hilang terus perjanjian tua..
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya..?”

Dulu..
Di sana..
Tiba giliran Paduka Sultan beraja
Sultan Mahmud Shah jadi ingatan
Benggali Putih buat belasahan..
Terbakarlah Melaka zaman berzaman..

Undur Sultan ke serata peri..
Tinggal sekeping hati dan alatan negeri
Kampar benteng harapan buat baginda merajai
Kekal tak kembali ke Melaka lagi..

Dulu..
Di tanah ini..
Raja Muzzaffar dijemput pergi..
Tanah Tun Saban dan Tok Temong dikongsi-bahagi
Berangkatlah ke negeri Perak yang belum beraja lagi..
Sambil diiring Paduka seberang..
Daulat raja di ranah Minang
Megat Terawis hulubalang terbilang..

Dulu..
Di bumi ini..
Datang pula dugaan Tuhan
Buat menguji hati sang raja
Supaya ingat akan asal dan jasa
Usul dititah untuk dijaga..

Lantas..
Dia berbisik..
Berbisik dari hati yang suci murni
Buat jadi benteng diri
Dari ‘penghuni’ segenap negeri..

“Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka..”

Hari ini..
Kini di sini..
Apa yang tinggal hanya kita-kita..
Menggalas tanggungan beban derita..
Bukan hanya sekadar cerita..
Buat mainan dikala hiba..
Atau buat mengulit si kecil lena..

Hari ini..
Di bumi ini..
Yang tinggal hanyalah aku dan kamu
Setelah cukup zaman itu
Kini bermula zaman yang baru
Kembalilah kita ke Khalifah yang satu..

Aku dan kamu
Adalah darah saka,
Para panglima silam
Yang bergadai nyawa
Demi maruah agama
bangsa tanahair
Tanah tumpah nya darahku

Tanah yang sekangkang kera ini..
Inilah tanah kita..
Ini Tanah para Syed dan Syarifah..
Ini tanah Raja-Raja
Ini tanah Megat-Megat
Ini tanah Daeng-Karaeng
Ini tanah Meor-Meor
Ini tanah Wan-Wan
Ini tanah Nik-Nik
Ini tanah kita semua..
Ini tanah Ahlul Bay’t..!
… Tanah ini ‘Tanah Melayu’..!

Aku dan kamu
Di antara saka pustaka
Penyambung warisan bangsa
Para pertapa ke Batu Belah
Ke Ulu Perak ke Pulau Besar
Untuk bertauliah dan berijazah
Antara yang nyata atau Rijalul Ghaibi
Dengan para auliah dan para santabi

Aku dan kamu
Rajawali mahupun Jentayu
Mengembang sayap di angin lalu
Dengan seruan jihad bertalu-talu..
Telah berlalu 500 tahun itu..
1511 ke 2011 kini datanglah pula 2013..
Di sini kekita menanti
Dalam hati-hati manusia itu diam sendiri
Tentu ada yang tak takut mati..

Maka akan bangkit..
Inshaallah Taala akan bangkit nanti..
Akan bangkit hati-hati yang umpama kepingan besi..
Akan datang panji-panji hitam dari ufuk timur ini..
Agama Tauhid akan kembali berdiri..
Dari sini..
Dari sebelah sini..

Hari ini..
Antara Habil dan Qabil
Antara Jalut dan Talut
Antara Harut dan Marut
Antara Hassan dan Hussin
Antara Lekir dan Lekiu
Antara Osama dan Obama..

Ada sesuatu..
Ada sesuatu yang perlu diambil tahu..

Patah tongkat berjeremang..
Habis Hulubalang bersiak..!

Bukan balang-balang Hulubalang,
Hulubalang terbilang jitu..
Bukan barang-barang Penjurit,
Penjurit Kepetangan jua yang tahu..
… Kepetangan itu adalah penamat ilmu kau dan aku..!

Tun Muhammad Farul Azri Ibni Tun Haji Muhammad Salleh

Lumut, Perak Darul Ridzuan

27hb Januari 2013

HIKMAH III (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman)
* Termasuk curlikan dari Inskripsi Batu Bersurat Terengganu, ucapan dialog Sultan Muzzafar Shah I Negeri Perak Darul Ridzuan dan nukil Ajar-Ajar Tua Pendita Megat Ainuddin al Asyuro Ibni Allahyarham Dato’ Megat Mohd Nordin.

Leave Comments

“Kamu.. Kamulah Syurgaku..” – Buat Nur Aisya Imani

Posted on Jun 5, 2012 | 0 comments

Semoga satu hari nanti Anakanda tahu apa rasa di hati Ayah…

Tahukah kamu ku ciumi mu
Di saat kamu terlelap
Tahukah kamu ku dekap kamu
Saat kamu bermimpi..

Tahukah kamu ya cuma kamu
Pemilik hatiku
Tahukah kamu hati ku ini
Adalah hati mu..

Tahukah kamu di setiap tidur ku
Ku kagumi wajah mu
Nanti kau kan tahu
Nanti kau dengar bahawa aku begitu..

Kamu.. Kamu adalah syurga yang ada
Dalam hidup ku dalam kenyataan ku
Kamu.. Aku adalah penghuni syurga
Ucapkan salam pada hidup dan mati..

Tahukah kamu saat kamu menangis
Adalah air mata ku yang jatuh berlinang
Tahukah kamu saat kamu tersakiti
Adalah aku yang pertama terluka..

Tahukah kamu ya cuma aku
Yang punya cinta untuk mu
Tahukah kamu ya cuma aku
Yang rela mati untuk mu..

Leave Comments

Di Atas Runtuhan Kota Melaka

Posted on Oct 21, 2011 | 0 comments

Di atas runtuhan Melaka lama
Penyair termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebesaran nenek bahari

Di atas munggu yang ketinggian
Penyair duduk termenung seorang
Jauh pandangku ke pantai sana
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak mentilau bernyanyi
Murai berkicau bayu merayu
Kenang melayang ke alam sunyi
Teringat zaman yang lama lalu

Sunyi dan sepi, hening dan lingau
Melambai sukma melenyai tulang
Arwah Hang Tuah rasa menghimbau
Menyeru umat tunduk ke Tuhan

Di sini dahulu alat kebesaran
Adat resam teguh berdiri
Duduk semayam Yang Dipertuan
Melimpahkan hukum segenap negeri

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu jati
Jaya perkasa, gagah dan mewah
‘Tidak Melayu hilang di bumi’

Di sini dahulu payung terkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara yang cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara

Penyair menghadap ke laut lepas
Selat Melaka tenang terbentang
Awan berarak riak menghempas
Mentari turun rembanglah petang

Wahai tuan Selat Melaka
Mengapa tuan berdiam diri?
Tidakkah tahu untung hamba
Hamba musafir datang ke mari

Di mana Daulat Yang Dipertuan
Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat
Mana Bendahara johan pahlawan
Bukankah jelas di dalam babad

Namanya tetap jadi sebutan
Bekasnya hilang payah mencari
Sedikit penyair bertemu kesan
Musnah dalam gulungan hari

Mengapa ini bekas yang tinggal
Umat yang lemah terkatung-katung
Hidup menumpang tanah terjual
Larat wahai larat dipukul untung

Adakah ini bekas peninggalan
Belahan diriku umat Melayu
Lemah dan lungai tiada karuan
Laksana bunga terkulai layu

Jauh di darat penyair melihat
Gunung Ledang duduk termangu
Tinggi menjulang hijau dan dahsyat
Hiasan hikayat nenekku dahulu

Di dalam kuasyik merenung gunung
Di dalam kemilau panas kan petang
Tengah khayal dirundung menung
Rasanya ada orang yang datang

Penyair hanya duduk sendiri
Tapi keliling rasanya ramai
Bulu romaku rasa berdiri
Berubah warna alam yang permai

Ada rasanya bisikan sayu
Hembusan angin di Gunung Ledang
Entah puteri datang merayu
Padahal beta bukan meminang

Bukanlah hamba Sultan Melaka
Jambatan emas tak ada padaku
Kekayaanku hanya syair seloka
Hanya nyanyian untuk bangsaku

Justeru terdengar puteri berkata
Suaranya halus masuk ke sukma
Maksudmu tuan sudahlah nyata
Hendak mengenang riwayat yang lama

Bukan kuminta jambatan emas
Tapi nasihat hendak kuberi
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari

Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri

Sultan Mahmud Shah mula pertama
Meminang diriku ke Gunung Ledang
Segala pintaku baginda terima
Darah semangkuk takut menuang

Adakan cita akan tercapai
Adakan hasil yang diingini
Jika berbalik sebelum sampai
Mengorbankan darah tiada berani

Apalah daya Datuk Bendahara
Jikalau Sultan hanya tualang
Memikir diri seorang sahaja
Tidak mengingat rakyat yang malang

Sultan Ahmad Shah apalah akalnya
Walaupun baginda inginkan syahid
Mualim Makhdum lemah imannya
‘Di sini bukan tempat Tauhid’

Bendahara Tua Paduka Raja
Walaupun ingin mati berjuang
Bersama hilang dengan Melaka
Anak cucunya hendak lari pulang

Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba

Ini sebabnya umat akan jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak belian orang

Sakitnya bangsa bukan di luar
Tetapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apalah daya

Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman

Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa

Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri

Riwayat yang lama tutuplah sudah
Apalah guna lama terharu
Baik berhenti bermenung gundah
Sekarang dibuka lembaran baru

Habis sudah madahnya puteri
Ia pun ghaib capal pun hilang
Tinggal penyair seorang diri
Di hadapan cahaya jelas membentang

Pantai Melaka kulihat riang
Nampaklah ombak kejar-mengejar
Bangunlah Tuan belahanku sayang
Seluruh Timur sudahlah besar

Bercermin pada sejarah moyang
Kita sekarang mengubah nasib
Di zaman susah atau pun riang
Tolong tetap dari Yang Ghaib

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

Bukanlah kecil golongan tuan
Tujuh puluh juta Indonesia
Bukan sedikit kita berteman
Sudahlah bangun bumi Asia

Kutarik nafas, kukumpul ingatan
Aku pun tegak dari renungku
Jalan yang jauh aku teruskan
Melukis riwayat sifat hidupku

Kota Melaka tinggallah sayang
Beta nak balik ke Pulau Percha
Walau terpisah engkau sekarang
Lambat launnya kembali pula
Walaupun luas watan terbentang
Danau Maninjau terkenang jua

Oleh:
Haji Abdul Malik Karim Amrullah
(17 Februari 1908 – 24 Julai 1981)

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para kekasihNya Maha Pencipta dan sentiasa dilindungi dan dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Leave Comments

Air Mata Hati

Posted on Mar 16, 2009 | 3 comments

Air mata ini
Yang gugur bertahun-tahun selepas
Hati jadi dingin dan bicara jadi beku
Seperti tidak membawa maksud apa-apa lagi..

Kata cinta terus jadi rahsia antara kita
Terselindung dalam maksud yang paling layap
Rahsia yang disimpan dibawah agama
Rahsia seperti hal-halnya Tuhan
Baru kini aku ketahui, kau kerap mengirimnya di dalam
Setiap doa-doa yang
Tak pernah walau sekalipun dilalaikan..

Sekarang ini, diantara angin dan waktu
Aku basahkan tanah pusara dengan
Air mata dari hati
Yang sepatutnya mencurah
Segala rasa sayang rindu
Bertahun-tahun dahulu..

Hanya tanah merah ini sempat aku sentuh
Dan kamu tetap menjauh..

Bebahagialah..
Kini waktunya sudah sampai untuk aku pula menangis
Dan mengirim bait-bait cinta (dan nama)
Dari dalam doa sambil merelakan mata melepaskan nisan
Entah sampai bila..

Aku basah..
Aku rebah..

al-Fatihah buat Allahyarhamah Suraya Binti Kapten Dato’ Yahaya
(Disember 22, 1980 – Mac 16, 2009)

Leave Comments

Remember… Remember… 16th of September…

Posted on Sep 9, 2008 | 2 comments

Remember… Remember 16th of September
(Taken and adjusted from Guy Fawkes Night’s traditional themes – And hopefully may do changes for us Malaysian…)

Remember… Remember the 16 of September
The overtaking government and plot
I know of no reason
Why overtaking the government
Should ever be forgot
Anwar for PM, Anwar for PM, t’was our intent
To kick Abdullah and his cronies out of Putrajaya
32 Parliament members and a few fellow
To prove old Malaysian’s overthrow
By God’s providence we will succeed
With a dark lantern and burning match
Holla boys, holla boys, we will be unstoppable
Holla boys, holla boys, God will save the people…!

Leave Comments

Dialog Antara Jamban Setinggan II

Posted on Aug 15, 2008 | 2 comments

Dialog Antara Jamban Setinggan II

Hey Brader Mar…
Dengar tak?
Tanah air ini terlalu kacau
Sebangsa seteru;
Seagama ragu;
Sekeluarga buru
Bahasa dan hati tak sebati;
Saran dan janji lebih berjudi
Memang kita dipintas sejauh ini
Kita khayal bermimpi
Hingga dini
Juga gemar berbalah
Hingga ke senja
Brader Haen, dengar!
Dengar tak?
Hei Brader Haen,
Kita bakal dimarahi nanti?
Marah? Brader Mar?
Hoi brader…
Dialog jamban siapa peduli?

A Samd Said
Malam Puisi Bulanan Negeri Melaka Ogos, 2008

Leave Comments