Pages Navigation Menu

Jejak Sheikh Abdullah di Gunung Jerai

Posted on Feb 13, 2013 | 1 comment

965x333-feat_01-gunung-jerai

IMG_0527

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi..

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh..

Salam serta selawat ke atas Nabi junjungan Habibullah, Muhammad Rasulullah SAW serta Ahlul Bay’t Baginda.

“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”.

Baru- baru ini semasa cuti Tahun Baru Cina, aku telah mengambil kesempatan cuti untuk ke Alor Setar untuk meraikan pernikahan Adinda sepupu aku di sana. Dalam kesempatan yang ada, aku mengambil keputusan untuk ziarah ke sana sini di bumi tua bernama Kedah Darul Aman..

IMG_0529

Sebelum bertolak ke Kedah lagi, aku telah ditanya oleh Adinda Anne Khairani sama ada aku mempunyai perancangan untuk ke Gunung Jerai? Jawaban aku, mungkin tidak kerana aku merancang untuk ke Sidam Kiri untuk ziarah makam Nenda ku Opu Daeng Perani selain untuk ke makam-makam lain di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, tetapi malam selepas majlis kenduri, diri aku rasa terpanggil untuk ke Gunung Jerai.. Panggilan itu terasa semakin kuat keesokkannya selepas bersarapan pagi..

Gunung Jerai yang terletak dalam daerah Gurun, Yan dan Sungai Petani Kedah Darul Aman merupakan antara lokasi tarikan bagi pengamal persilatan, perubatan selain dari Gunung Ledang dan Pulau Besar di Melaka yang mana ketiga-tiga lokasi ini membentuk satu segitiga mistik di Kepulauan Nusantara ini.

Bagi penduduk setempat sekitar Gunung Jerai, gunung ini dikatakan hidup dan bernyawa kerana kerap ‘makan manusia’ selain dari kes-kes misteri kehilangan pendaki selama berminggu-minggu dan ada yang langsung tidak dijumpai sehingga ke hari ini.. Beberapa kawasan di kaki gunung, di air terjun dan di kawasan puncak gunung dikatakan dihuni oleh orang-orang bunian malah ada yang mengatakan bukan setakat kampung bunian sahaja, malahan sebuah kerajaan mereka turut ada di sini lengkap dengan istana dan pemerintah dari kalangan bunian..

IMG_0543

Seperti halnya dengan gunung-gunung dan pulau-pulau lain di dalam dunia ini, Gunung Jerai juga ada penjaganya atau orang yang memegang ‘kunci’nya iaitu seorang yang dikenali dengan nama ‘Tok Ayah Hashim’.. Rumah beliau terletak di kaki Gunung Jerai dan bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui perihal kisah Gunung Jerai, bolehlah singgah dan berbual dengan beliau.. Semasa kembara aku ke Yogyakarta beberapa tahun lepas, aku sempat menaiki Gunung Merapi dan melintasi rumah penjaganya atau ‘pemegang kunci’ Gunung Merapi iaitu Mbah Maridjan.. Seperti yang dijanjikan Allah Taala, Mbah Maridjan telah terkorban dalam letupan Gunung Merapi pada Oktober 2010 yang lepas dan jenazahnya ditemui keras diselubungi debu dan lavar Gunung Merapi dalam keadaan bersujud di atas sejadahnya..

Pada awalnya aku memasang niat untuk singgah ke rumah Tok Ayah Hashim untuk bertanya khabar sambil berbual pendek, tapi laluan sempit ke puncak gunung telah membatalkan hasrat aku kerana aku berniat untuk segera sampai ke Padang Tok Sheikh di puncak gunung.. Niat hati aku kalau dapat bersolat Zohor dan Asar di puncak gunung pun jadilah untuk mengambil berkat tapak di gelanggang tua Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri, salah seorang murid kepada Sultanul Auliya (Penghulu kepada segala Wali Allah), Sheikh Abdul Qadir al Jailani dan sebagai orang yang mula-mula sekali bertanggungjawab mengIslamkan kerajaan Kedah Tua pada tahun 1136 Masehi (531 Hijrah).. Dan.. Menjadi orang pertama yang membawa ilmu beladiri yang umum hari ini memanggil dengan nama ‘Silat’ di Tanah Melayu..

Kedatangan Sheikh Abdullah ke Alam Melayu bukanlah berseorangan, tetapi beliau telah belayar bersama-sama dengan beberapa rakan seperguruan beliau dari pondok Sheikh Abdul Qadir al Jailani iaitu Sheikh Ismail Zaffi, Syed Thanauddin Hussein Jammadil Qubra yang berketurunan terus kepada Syed Al-Alawiyah (Sayyid) dan beberapa kumpulan pendakwah yang lain. Semasa kedatangan rombongan Sheikh Abdullah ke negeri Qalha (nama lama bagi negeri Kedah) beliau telah dicabar sendiri untuk bermain senjata oleh pemerintah negeri Qalha iaitu Maharaja Derbar Raja II.. Dipendekkan cerita, segala penggawa dan hulubalang istana termasuk Maharaja Derbar Raja II sendiri yang menggunakan pelbagai ilmu-ilmu kebatinan dari Hindu-Buddha telah tewas dengan mudah ditangan Sheikh Abdullah seorang diri yang hanya mengguna gerak ‘Lam Jalallah’ iaitu salah satu gerak tua dalam ilmu persilatan Melayu.. Maka setelah dipersetujui, seluruh isi negeri Qalha pun diIslamkan dan ditukarkan nama negeri menjadi negeri Kedah Darul Aman iaitu yang membawa maksud ‘Negeri yang di dalam keamanan Tuhan’ dan nama Maharaja Derbar Raja II pun ditukarkan kepada Sultan Muzzaffar Shah I.. Begitulah ringkasan sejarah negeri Kedah yang diIslamkan tanpa perlu ke medan perang seperti yang tercatit di dalam Al Tawarikh Salasilah Negeri Kedah karangan Encik Muhammad Hassan Bin Datuk Kerani Muhammad Arshad cetakkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

IMG_0536

IMG_0535

IMG_0538

Selesai mengIslamkan kerajaan negeri Kedah, Sheikh Abdullah bersama dengan rombongannya yang lain berangkat pula ke Aceh untuk mengIslamkan kerajaan-kerajaan Melayu-Tua yang lain. Di sana, beliau digelar ‘Sheikh Abdullah Ariff’. Mengikut tulisan Dr Buya Hamka dalam bukunya yang berjudul ‘Selarah Umat Islam’ (tiga jilid) dan ‘Islam dan Adat Minangkabau’, ketika Sheikh Abdullah di Aceh, Raja Adityawarman, pengasas Kesultanan Pagaruyung telah diIslamkan ditangan Sheikh Abdullah sendiri dan telah belajar ilmu-ilmu beladiri dari beliau. Ketika ini, Sheikh Ismail Zaffi dan Syed Thanauddin Hussein Jammadil Qubra juga telah berangkat ke destinasi masing-masing untuk meneruskan perkembangan agama Islam ke daerah Nusantara yang lain. Dikhabarkan dari orang-orang yang terdahulu, Syed Thanauddin Jammadil Qubra kemudiannya menetap di Gunung Ledang dan dikenali dengan nama ‘Adi Putra’ atau ‘Aria Putra’ manakala Sheikh Ismail Zaffi menetap terus di Gunung Wirana Pura di bawah jajahan Jawa di Jayakatra (hari ini Jakarta) dan memakai gelaran ‘Sang Persata Nala’.. Mereka-mereka ini duduk menjadi ‘Ajar-Ajar’ kepada semua ilmu agama Islam dan ilmu isyarat dan firasat Hulubalang Melayu Penjurit-Kepetangan zaman berzaman membawa ke hari ini menerusi Ajar-Ajar yang ditauliahkan untuk mengajar..

Sheikh Abdullah kemudiannya belayar balik ke Negeri Kedah dan memohon kepada Sultan Muzzaffar untuk tinggal terus di puncak Gunung Jerai.. Pada ketika inilah Sultan Muzzaffar sendiri telah memohon kepada Sheikh Abdullah Ibni Sheikh Ahmad Ibni Sheikh Ja’afar al Qaumiri untuk belajar ilmu-ilmu beladiri yang ada pada beliau.. Dan beliau bersetuju untuk mengajarkannya dengan bersyarat iaitu, ilmu ini hanya boleh diajarkan kepada waris raja-raja dan kaum kerabat Diraja sahaja, turun temurun.. Dan dari sinilahlah turunnya dalam dunia hari ini permainan ‘Ibu Silat Melayu’ yang antaranya telah berkembang menjadi Silat Kalimah, Silat Sendeng, PIKUM, Silat Papan Sekeping, Silat Kalam, Silat Abjad dan beberapa silat yang lain lagi selepas dikembangkan buat rakyat jelata selepas era pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II..

Maka.. Di sinilah bermulanya sejarah dalam sejarah.. Di kawasan yang dikenali dengan nama ‘Padang Tok Sheikh’ hari ini, dahulunya telah didirikan sebuah menara tinggi bagi kegunaan Sheikh Abdullah untuk melaungkan azan ketika setiap kali masuk waktu solat dan digunakan untuk bergelanggang mengajarkan ilmu pertahanan diri buat kaum kerabat Sultan Muzaffar Shah I selain digunakan untuk solat berjemaah.. Dikhabarkan orang-orang terdahulu, apabila Sheikh Abdullah melaungkan azan itu suaranya dapat didengar di setiap pelusuk negeri Kedah dan dari situ beliau digelar penduduk negeri dengan gelaran ‘Sheikh Tajred’ iaitu Sheikh yang tidak kelihatan (walaupun suaranya dapat didengar)..

IMG_0537

IMG_0547

IMG_0546

Jadi ketika aku sampai ke kawasan Padang Tok Sheikh, aku sempat juga melaungkan azan di puncak bagi mengambil berkat Sheikh Abdullah dan sebagai salah satu adat Perwaris Penjurit-Kepetangan ketika pergi ke tempat-tempat keramat..

Ohh ya.. Terlupa pula nak tulis, ketika melintasi kawasan telaga Tok Sheikh iaitu perigi yang digali sendiri oleh Sheikh Abdullah dan pengikut Sultan Muzzaffar, aku terpandang sebuah gerai yang dibuka di tepi jalan dan menjual pelbagai barangan antik seperti keris, minyak gaharu dan cendana juga batu-batu permata untuk dibuat cincin, aku ternampak sepasang burung yang aku yakin sangat sebagai burung Cenderawasih yang terbang rendah berhampiran kawasan gerai tersebut.. Burungnya kelihatan besar, berbulu panjang sampai ke tanah dan berwarna-warni.. Sememangnya cukup indah dipandang.. Akan tetapi aku membiarkan sahaja burung itu tanpa tergerak untuk merakamkan gambarnya..

Selesai melaungkan azan di Padang Tok Sheikh, terus aku bertindak menunaikan hajat aku untuk bersolat Jama’ Zohor dan Asar di atas, maka aku pun berpusing-pusing dikawasan sekitar.. Di atas binaan menara yang baru, aku terjumpa segumpak kain putih berserta dengan ikatannya sekali, dan apabila aku membuka kain tersebut, ternyata ianya adalah sehelai kain kapan.. Tak tahulah siapa punya kerana ianya masih baru lagi.. Jeng jeng jengg.. Hahaha..

IMG_0534

IMG_0545

IMG_0526

Selesai bergambar kenangan di kawasan Padang Tok Sheikh, aku turun kembali ke kawasan Telaga Tok Sheikh dan mengambil wuduk semula lalu menyambung perjalanan ke gerai barangan purba yang kelihatan tadi.. Sejurus selepas memberi salam kepada Tuan Kedai, beliau lantas datang bersalaman dan terus berbisik kepada aku.. “Kita dah tahu awk nak datang sini..” Jadi aku membalas, “Macam mana tahu..?” Dan katanya, “Orang atas dah bagi tahu.. Orang atas suruh bagi pedang..” Aku hanya mampu tersenyum sambil terdetik dalam hati, ‘Aikk, takkan nak bagi free je..?’ Kemudian lelaki itu bergegas ke dalam keretanya dan membawa keluar dua bilah pedang Katana yang digunakan pahlawan Samurai Jepun dahulu kala.. Satunya bersarung dan berhulu hitam manakala yang sebilah lagi bersarung dan berhulu merah.. Lantas lelaki itu berkata “Yang merah itu awk punya.. Ambillah!” Aku tersenyum dan meminta izin untuk membuka bilah pedang untuk melihat matanya.. Maka terlihatlah bilah mata yang sangat tajam dan berwafak dari hulu ke hujung matanya.. ‘Pedang lama ni..’ Getus aku dari dalam hati.. Kemudian lelaki itu bersungguh-sungguh lagi mahu aku mengambilnya tetapi aku menolak dengan baik.. Kata aku padanya ‘Cukuplah apa yang ada..’ Lantas lelaki itu memberi tahu, “Kita ni dah tak lama.. Siap sedia lah.. Ambillah pedang merah tu.. Orang atas nak awk ambil..” dan aku membalas dengan senyuman, “Tak apa lah Tuan.. Cukuplah apa yang saya ada Inshaallah..” Selepas itu barulah beliau berhenti dan tersenyum..

IMG_0528

IMG_0531

IMG_0532

IMG_0533

Kemudian dia pergi ke satu sudut kedai dan membuka salasilah keluarganya.. Lalu aku membelek.. Ohh.. Rupanya dia ini waris dari Sultan Muhammad Jiwa iaitu Kekanda kepada Moyang aku, Tunku Aishah Ibni Sultan Abdullah al Mua’zzam Shah lalu aku pun berlari anak ke arah kereta untuk mengambil salasilah keluarga aku pula yang memang aku usung ke hulu ke hilir dalam iPad lalu aku tunjukkan pada dia.. Aku berkata pada dia, yang ‘kita ni adik beradik laa kot..?’ dan dia membalas “Kita dah tahu dah awk adik beradik kita.. Orang atas dah cakap awal-awal lagi..” Hahaha.. Macam-macam laa dia ni..

Kami berbual pendek, bersalaman dan berpelukkan erat sebelum mengucapkan selamat tinggal.. Selesai ziarah ke Gunung Jerai, aku dan ahli keluarga yang lain terus bergegas pulang ke kampung di Kulim kerana menerima berita kematian salah seorang jiran dekat di sana sebelum berangkat pulang terus ke Kuala Lumpur menjelang tengah malam..

Al Fatehah buat semua yang telah mendahului kekita semua..

IMG_0539

IMG_0523

IMG_0524

IMG_0525

IMG_0544

Leave Comments

Laksamana Tun Tuah.. Satu Manifestasi Bukan Fantasi

Posted on Oct 5, 2012 | 4 comments

NOTA: Semua gambar peribadi yang digunakan dalam penulisan ini adalah sekadar gambar hiasan yang tidak ada kena mengena dengan Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah (melainkan gambar Keris Taming Sari) dan hanya digunakan bagi menaikkan ‘semangat Melayu’ yang mengalir senyap dalam diri setiap anak Melayu. Gambar-gambar lain pula adalah hak milik terpelihara IPPM – Istiadat Perwaris Penjurit-Kepetangan Melayu dan Pak Tuan Syed.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh..

Salam serta selawat buat Rasul utama Habibullah, Rasulullah Muhammad SAW serta Ahlul Bai’yt Baginda Nabi Allah.
“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”

Adapun telah banyak didebatkan dalam laman maya serta perbincangan kedai-kopi dan tak kurang juga perdebatan di kalangan sarjana lulusan universitas dan juga sarjana lulusan Chow Kitt Road dan Petaling Street membicarakan perihal wujud atau tidak Dato’ Hulubalang Besar, Lagi Terbilang – Penjurit Kepetangan orangnya.. Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah atau kita biasa sebut sebagai Hang Tuah. Ramai juga yang bersifat Asobi’yah yang ‘menginginkan’ Dato’ Laksamana Hang Tuah itu dari kalangan ‘orang kampung/orang negeri’ mereka.. Ada yang mengaku Hang Tuah orang Kelantan dan makan budu, Hang Tuah sebenarnya orang Kedah sebab gelaran ‘Hang’, Hang Tuah orang Siam, Hang Tuah orang Filipina, Hang Tuah orang Indonesia dan ada juga yang mengatakan Hang Tuah itu orang Singapura-pura.. Masha Allah..! Dapat apa pun kalian semua kalau-kalau Hang Tuah itu orang kampung kalian..? Dapat turun saka ilmunya kah..? Habuk pun tak ada untuk kalian melainkan bagi yang mencari dan menyelusuri perjalanan Laksamana lima sahabat..!

Lebih dasyat pula wujud fitnah-fitnah jahat bukan sahaja dari bangsa asing, tapi dari anak bangsa Melayu sendiri yang sesat dan hilang akal mereka mengatakan Hang Tuah lima bersaudara itu berbangsa Cina. Kononnya kajian DNA telah dijalankan dan berjaya dibuktikan yang mereka-mereka ini adalah berbangsa Cina.. Kajian DNA celah mana Dol? Kalau ada kajian DNA yang dijalankan pada Makam Hang Tuah di Tanjung Kling di Melaka itu pun, takkan dapat DNA Cina sebab yang bersemadi di situ dikatakan oleh penduduk asal adalah seorang Ulama’ India Muslim.. (Hang Tuah tidak ada makamnya). Wallahualam Bissawab sebab tak pernah pula Kerajaan Negeri Melaka atau sekurang-kurangnya PSM – Persatuan Sejarah Malaysia menghebahkan kajian ini.. Kalau ada hebahan media, pasti dah masuk dalam Buletin Utama, Utusan Meloya dan Berita Hairan mengenai kajian DNA tersebut..!

Kononnya Hang Tuah itu bernama Han Too Ah bersahabat bersama Han Jee Fat dan handal ber’kung-fu’ yang orang Melayu kita panggil Silat.. Masha Allah..! Kalau yang demikian bagaimana pula dengan Hang Kasturi, Hang Mahmud, Hang Nadim dan sebagainya? Apa nama Cina mereka-mereka ini? Macam mana nak ‘Cina’kan nama Melayu-Melayu yang ini..? Tak cukup dengan itu, majalah separa ala-ala URTV/Mangga iaitu Mastika terbitan Kumpulan Pengarang Utusan mengeluarkan pula satu penulisan bahawa Hang Tuah adalah seorang wanita.. Ini semua gila! Gila..!!!

Ada juga pendapat-pendapat sarjana kedai kopi yang mengatakan bahawasanya Hang Tuah ini sebenarnya adalah Maharaja Narai, iaitu salah seorang Maharaja Empayar Ayutthia di Siam dalam tahun 1656-1688M. Tengok pada tarikh memerintah sahaja, anak-anak kecil pra-sekolah lebih tahu bahawasanya ia tiada kaitan langsung..! Sudah Berpuluh tahun debat-debat bodoh ini berleluasa dalam laman internet oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda peribadi sendiri, makalah penerbitan umum, sembang kedai kopi dan termasuk juga simposium para sarjana. Nama Hang Tuah pula diabadikan dimerata-rata tempat di segenap pelusuk Nusantara. Antaranya, di Surabaya Indonesia sebuah univertisiti terkemuka dinamakan dengan Universitas Hang Tuah. Di Pattani Thailand pula terdapat sebuah masjid yang dikenali dengan nama Masjid Krisik Hang Tuah.  Malangnya, masih kurang (bukan tak ada, tapi sedikit) Melayu yang mahu menerangkan secara lengkap bahawa siapa sebenarnya Hang Tuah dan lantas membuktikan kewujudannya dalam lembaran sejarah Melayu.. Apa yang ada hanya debat-debat bodoh yang aku nyatakan tadi.. Debat diantara pihak A dan pihak B yang hanya bersifat ‘looping’ dan berpusing-pusing tanpa ada titik noktah. Yang sedihnya, anak bangsa mengambil jalan pintas dan menjadikan cerita reka-yasa ini sebagai sumber kebenaran..

Bagi yang mengenali Hang Tuah dan lima sahabatnya, baik secara spiritual (rohaniah) mahupun secara ilmiah sejarah (melalui pembacaan teks lama dan kajian), mereka-mereka ini yakin akan kewujudannya serta betapa ‘Melayunya’ Hulubalang berlima ini.. Bukan Cina, bukan India, bukan Siam ataupun Filipino..!

Inshaallah Taala, dengan izin yang Maha Esa, di sini, aku akan cuba sertakan beberapa bukti sahih mengenai kewujudan Hang Tuah lima bersaudara beserta betapa Melayunya Hang Tuah sebenarnya, bukan seperti dakwaan ‘gila’ yang mengatakan mereka-mereka ini adalah Cina dan berasal dari Tanah Besar China.

Dari Sumber Sulalatus As Salatin

Dalam Sulalatus As Salatin (versi paling asal iaitu versi Raja Bongsu) yakni ‘Sejarah Melayu’ yang disusun semula oleh Bendahara Tun Seri Lanang dalam tahun 1537 (dalam Empayar Johor Tua – 26 tahun selepas kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka) telah ditulis dengan jelas asal dan usul Hang Tuah. Diceritakan dalam naskah tersebut bahawa Hang Tuah berasal dari Kepulauan Bintan yang takluk pada sebuah kerajaan Bugis di Sulawesi. Nama asalnya ialah Daeng Mempawah, seorang anak Raja Bajung Bugis yang berpusat di Makassar. Dilahirkan sekitar tahun 1388 Masehi di sana dan beliau kemudiannya telah dibawa berpindah ke Melaka bersama keluarganya ketika berumur sekitar 3-4 tahun sebagai hadiah untuk dijadikan bingkisan buat Duli Yang DiPertuan Sultan Mansur Shah Melaka.

Melaka pada waktu itu sedang menjadi satu kuasa besar baru di Nusantara dan menjadi sayap kiri kepada pemerintahan Turki Uthmaniah di Timur tengah. Di Melaka, Hang Tuah tinggal bersama orang tuanya di Kampung Duyung, Kampung Bendahara Tun Perak. Pada umurnya meningkat sekitar 12 tahun, beliau mengikuti rombongan Sultan Melaka ke Tanah Jawa, Majapahit dan telah berjaya membunuh orang-orang mengamuk di Kampung Bendahara serta ketika di Majapahit. Ketika umurnya meningkat 16-17 tahun beliau telah dilantik memegang jawatan Laksamana dan lantas menjadi orang Melayu pertama yang memakai gelaran Laksamana dalam lipatan sejarah. Ketika beliau berumur sekitar 21 tahun, direkodkan dalam lipatan sejarah bangsa, beliau telah bertikam dengan Hang Jebat yang mengamuk di istana Melaka. Di dalam Sulalatus As Salatin ini juga ditulis dengan jelas bahawa Laksamana Hang Tuah mempunyai dua orang isteri dan mempunyai ramai zuriat keturunannya serta anak menantunya juga memakai gelaran Laksamana selepas beliau membuang diri lalu dikatakan ghaib..

Maklumat mengenai Dato’ Laksamana Hang Tuah berkahwin dan mempunyai 2 orang isteri telah dinyatakan dengan jelas di dalam naskah Sulalatus As Salatin adalah seperti berikut;

Isteri pertama (Nama tidak disebut) - Saudara perempuan kepada Seri Bija Diraja Dato Bongkok.

Anak dari isteri pertama:
Tun Sirah Binti Laksamana Hang Tuah (Perempuan) berkahwin dengan Temenggung Khoja Hassan

Cucu dari isteri pertama:
Tun Abdullah (Lelaki)
Tun Biajid (Lelaki)
Tun Daerah (Perempuan) – Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah

Cicit dari isteri pertama:
Raja Dewi Ibni Yang di Pertuan Sultan Mahmud Shah Melaka

Isteri Kedua (Nama tidak disebut) - Dari keluarga Bendahara Paduka Raja Tun Perak

Anak anak dari isteri Kedua:
Sang Guna (Lelaki)
Tun Emas Jiwa (Perempuan) – Berkahwin dengan Laksamana Hang Nadim (Satu-satunya anak dari nasab Hang Jebat)

Cucu dari isteri kedua:
Tun Mat Ali Bin Laksamana Hang Nadim

Cicit dari isteri kedua:
Tun Hamzah Bin Tun Mat Ali

Piut dari isteri kedua:
Tun Ali Bin Tun Hamzah – Tun Ali bergelar Seri Petam

Dari Sumber Tomé Pires – Amando Cortesao – The Suma Oriental

Dalam The Suma Oriental hasil tulisan penjajah, Tomé Pires yang ditulis dalam tahun 1513 (dua tahun selepas kejatuhan Melaka ke tangan kafir Portugis), beliau dengan jelas telah menulis mengenai seorang Laksamana Melaka – Admiral (tetapi tidak dinyatakan nama). Tulisannya diterjemahkan berbunyi begini; “Afonso de Albuquerque dan angkatan King Manuel tidak akan berjaya menawan Kota Melaka sekiranya Laksamana Melaka yang terkenal itu masih ada. Perkara ini terjadi dalam serangan pertama Portugis di bawah pimpinan Diego Lopes de Sequeira pada tahun 1509 gagal kerana Laksamana Melaka itu masih ada. Kini Melaka tiada lagi Laksamana itu lalu mereka mudah kami tewaskan.”

Dari Sumber A. Kobata and M. Matsuda – Ryukyu relations with Korea and south sea countries

Menurut buku A. Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama “Rekidai Hoan” yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian HangTuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung ketika itu untuk mengambil air minuman dengan hanya menggunakan perahu layar kecilnya tanpa mengendahkan peperangan yang sedang berlangsung.

Dari Sumber Kajian Leonard J. Andaya & Barbara Watson Andaya

(University of Hawaii)

Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

Menurut Yayan Indriatmoko (2003), Hang Tuah berketurunan Orang Laut. Orang Asli melibatkan diri secara aktif dalam sosio-ekonomi Tanah Melayu pada zaman dahulu.

Dari Sumber Rekod Istana Negeri Perak Darul Ridzuan

Dari sumber rekod Istana Negeri Perak Darul Ridzuan, telah beberapa kali dipamerkan kepada umum sebilah keris lagenda yang telah diperturunkan turun-temurun dalam simpanan Salasilah Kesultanan Perak Darul Ridzuan yang turun dari Kesultanan Melayu Melaka yang turun dari Bukit Siguntang Mahameru di Tanah Palembang. Keris yang pernah digenggam Dato’ Laksamana Tun Tuah atau Hang Tuah yang bergelar Keris Taming Sari. Mengikut pandangan dari salah seorang kerabat DiRaja Perak yang bersahabat baik dengan aku, iaitu Y.A.M Raja Shui’bah Ibni Almarhum Sultan Idris Afi’fullah Shah, Sultan Perak ke-33, keris Taming Sari yang di dalam simpanan DiRaja Perak itu adalah yang asli dan ada penduanya bersama. Cuma sehingga hari ini, keris penduanya itu belum lagi pernah dipamerkan kepada umum atas sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh orang-orang Istana. Keris Taming Sari ini telah diserahkan kepada Bentara Paduka Tun Mamat selepas pulang dari rombongan meminang Puteri Gunung Ledang untuk dipersembahkan kepada Duli Yang DiPertuan Sultan Mahmud Shah Melaka, Sultan terakhir Kerajaan Melayu Melaka. Baginda Sultan Mahmud kemudiannya menyerahkan pula keris tersebut kepada Anakanda Raja Muzzafar sebagai salah satu alat kebesaran untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak Darul Ridzuan yang pertama sambil diiringi oleh Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung.

Samada keris ini adalah keris ini adalah keris sebenar milik Dato’ Laksamana Tun Tuah atau tidak adalah satu pertikaian yang tak mungkin selesai melainkan Dato’ Laksamana itu sendiri datang dan mengakui atau menidakkannya. Namun yang utama ialah Keris ini telah menjadi satu alat kebesaran Kerajaan Perak Darul Ridzuan dari dulu sehingga kini. Simbol hubungan Melayu dan Keris. Keris dan Sultan Melayu. Ianya bukan hanya sebagai senjata akan tetapi sebagai pelengkap kepada jiwa setiap Melayu.

Dari Sumber Tariqat Naqsyabandi’ah Qadiri

Mengikut salah satu aliran Tariqat Naqsyabandi yang banyak bertapak di seluruh dunia ini, (Antaranya Naqsyabandi Kholidi, Naqsyabandi Haqqani, Naqsyabandi Khalidiyah dan beberapa lagi aliran Sufi dari Tariqat Nasqsyabandi) iaitu Naqsyabandi Qadiri, Laksamana Tun Tuah adalah seorang hamba Allah yang pernah wujud di muka bumi ini dan pernah duduk mengajar Tariqat Naqsyabandi di selatan Thailand iaitu di kawasan Pattani dan Narathiwat. Malahan Laksamana Tun Tuah juga di anggap sebagai salah seorang Sheikh atau Imam yang membawa aliran Tariqat Naqsyabandi Qadiri ini yang banyak bertaburan di bahagian Utara Semenanjung Tanah Melayu serta Selatan Thailand. Jika Tuan-Tuan meneliti sejarah Tariqat Naqsyabandi di Tanah Melayu, maka Tuan-Tuan akan menjumpai kenyataan bahawasanya Laksamana Tun Tuah pernah berguru dengan salah seorang Sheikh iaitu Sheikh Mansur ketika beliau dalam buangan di Hulu Melaka. Ada juga yang menyebut namanya ketika itu sebagai Sheikh Muhammad Saman yang bertaraf Wali Allah.

Dari Sumber Hikayat Hang Tuah

Jika tiada wujudnya seseorang manusia itu di muka bumi ini, maka tiadalah lagenda dan hikayat untuk diperturunkan turun temurun. Bagi yang memegang naskah Hikayat Hang Tuah, ada dua kebarangkalian seseorang itu mungkin menilai karya agung bangsa Melayu itu:

  • PERTAMA: Sebagai sebuah karya sastera yang padat dengan fantasi dalam sejarah yang bersifat romantisme dan perjuangan bangsa. Tidak boleh dinilai sama ada sahih kandungannya sejarahnya kerana isi kandungannya yang bersifat fantasi dan hikayat.
  • KEDUA: Sebagai sebuah karya rahsia bangsa Melayu bagi yang menuntut dalam ilmu firasat dan Hulubalang Melayu. Karya ini memuatkan berpuluh ribu kod-kod rahsia seperti ‘Da Vinci Code’ yang bila dipecahkan akan menjadi panduan bagi mendalami ‘Ilmu Firasat Hulubalang’ yang sering kali dikaitkan dengan sifat kepahlawanan bangsa Melayu.

… Dan ‘kitab Hikayat Hang Tuah’ inilah yang aku pegang SELAIN dari Sulalatus As Salatin yang melebihi segala bukti-bukti yang dinyatakan diatas (dari sudut ilmu isyarat dan firasat Hulubalang yang turun temurun dari Laksamana Tun Tuah), dan aku yakin bagi menyatakan/menzahirkan kewujudan Hang Tuah lima bersaudara.. Kerana aku dan kau tahu walau TIDAK MELEBIHI akan pengetahuan Allah Taala – Tuhan Maha Pencipta-Maha Mengetahui akan rahsia dalam rohsia yang tersembunyi. Setelah berguru dengan Pendita dan segala Ajar-Ajar yang mengajar kekita kini disini..

Hang Tuah lima bersaudara sememangnya cukup sinonim dengan sifat-sifat kepahlawanan dan bersemangat Melayu yang tinggi seperti yang digambarkan dalam Kitab Hikayat Hang Tuah. Aku menggelar naskah ini sebagai ‘kitab’ kerana aku memegangnya dari sudut kedua iaitu sebagai ‘karya rahsia ilmu isyarat dan firasat Hulubalang Melayu’. Jadi selepas ditimbang tara secara logik akalnya sememangnya menunjukkan Hang Tuah 5 bersaudara itu wujud di bumi bertuah ini berdasarkan kod-kod rahsia yang ditinggalkan dalam Kitab Hikayat Hang Tuah yang telah membawa aku serta ramai lagi menyelusuri jejak-jejak tinggalan warisan berlima ini malahan zaman-zaman sebelum mereka berlima serta sesudah mereka berlima. Hal ini dapat naik sehingga ke zaman Sunan Wali Solo – Syeddi Syeikh Imam Maulana Ishaq, Adityavarman, Nabi Allah Khidir Alah’i Salam dan Nabi Allah Sulaiman Alah’i Salam serta zaman-berzaman selepas mereka berlima iaitu Megat Terawis, Tun Saban, Megat Seri Rama, Laksamana Hang Nadim, Daeng Bugis lima bersaudara dan seterusnya hingga ke zaman Pendita Hulubalang Dato’ Bahaman (Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh), Mat Kilau, Tok Gajah, Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis, Tok Janggut dan yang seangkatan dengan mereka-mereka..

Akhir kata.. Banyakkan istigfar, berzikir, bertaubat dan berdoa.. Sabar dan sebar serta saling ingat-mengingati..

Bila sampai waktu nanti, segala kebenaran akan menjelma kini di sini menyatakan kebenaran hakiki buat segenap Ummat akhir zaman – Melayu-Islam BUKAN Melayu-Kufar menjelang tanda-ditanda-petanda kebangkitan Panji-Hitam-Ufuk-Timur.. Salam rindu dan kasih akan hamba buat Afwah Tun Tuah Biduanda Batu Belah di Hulu Perak – Hutan Bonggor Belum-Sebelum Relap Hati Kelantan Serambi Mekah – Ulu Titi Basah yang bernafas di bumi Sang Lenggeng, Sang Lenggong dan Sang Langgong dan yang naik di bumi berdaulat Batu-Bersurat Kuala Berang, Terengganu Darul Iman menuju akhir zaman.. Akan bergerak dari bawah ke atas-dari segenap pelusuk bumi Nusantara Melayu Islam bergerak dari Batu Hampar Kolam Air Panas bertapak ke Tapak Setapak – Sungai Padang Balang Hulubalang – Tanjung Kepetangan di Kuala Sepetang – Batu Penjurit di Pulau Penjurit – Bukit Chandan – Bukit Damar – Bukit Cindai – Bukit Cintamani – Wakaf Chamang – Gua Terang Bulan di Gunung Senyum..

Segala waris-perwaris, segala penyimpan pustaka-pusaka pada setiap mohor dan tanda-ditanda akan kembali keluar menzahirkan segala yang hilang dan ghaib.. Mengembalikan segala yang haq melebihi pada segala yang bathil lantas terus mencantas lidah-lidah yang berkata-kata dengan bongkak dan sombong, dengan gila dan hilang-akalnya mengenai Dato’ Hulubalang Besar, Lagi Terbilang – Penjurit Kepetangan orangnya – Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah serta sahabat dan adik beradiknya dan akan terus menyanggah dan membuktikan bahawasanya kata-kata Professor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan angkatan sarjana kedai kopi beliau ADALAH SALAH SAMA SEKALI! – Akan tetapi.. Misi terakhir itu nanti akan lebih dari itu.. Akan lebih besar dari itu semua hal-ehwal duniawi.. Dan mengenai Hang Tuah lima bersaudara itu, mereka-mereka akan terus hidup selamanya dalam jiwa setiap anak-anak Melayu yang masih tebal jatidiri Kemelayuan mereka dan Hang Tuah lima bersaudara itu terus hidup dan tiada mati..!

Bukan balang-balang Hulubalang.. Hulubalang terbilang jitu! Bukan barang-barang Penjurit.. Penjurit-Kepetangan juga yang tahu bahawa ‘Kepetangan’ itu adalah penamat ilmu kau dan aku..!!

Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad!
Takbir solawat! 313.99.9.3

Leave Comments

Cerita Sungai

Posted on Jul 24, 2012 | 0 comments

Title: Sungai Sedim
Date: 12th September 2010
Exposure: 3 exposure merge | 3.0 second, 0.8 second & 13.0 second / f22 -2 EV

Tengah aku dok godek-godek hard disk lama, terjumpa pulak gambar lama dari koleksi tahun 2010 dulu.. Dah lama sebenarnya aku tak belek-belek gambar-gambar lama hasil kerja aku ni.. Belek punya belek, terjumpa lah beberapa keping file format RAW yang ada dalam simpanan tu.. Antara file-file RAW yang aku dah ‘merge’ menjadi satu layer, yang di ambil dari beberapa exposure yang berbeda untuk mendapatkan teknik High Dynamic Range ataupun HDR adalah gambar di atas.. Tersengih sorang-sorang aku tengok gambar tu.. Bukan sebab HDR ke apa.. (HDR punya cerita dah basi laa weii.. Tahun 2006 – 2007 dulu orang Malaysia ni gila HDR.. Sekarang tidak lagi..) Tapi sebab gambar kat atas tu kononnya aku nak jual pada Pelancongan Negeri Kedah untuk promosi Sungai Sedim sebagai pusat white water rafting..

Masa tu aku berangan-angan yang gambar aku ni boleh jual laa.. Konon lepas jual sekeping gambar, boleh duduk goyang kaki tak payah kerja untuk 2-3 bulan seterusnya.. Tapi hampeh.. Sebab aku ni memang dasar pemalas..! Dipendekkan cerita, sudahnya gambar tinggal gambar.. Duduk sepi dalam hard disk 1 terabytes aku.. Kalaulah harta karun dalam hard disk tu boleh nampak habuknya.. Kah kah kah..!

Ok.. Lupakanlah cerita fasal gambar tu.. Hari ni aku nak merapu fasal sungai.. Ya! Fasal sungai.. Sebab ramai di kalangan korang yang dah tak peduli lagi fasal sungai.. Sebab apa jadi tak peduli..? Ye laa.. Mana nak hairan sebab pagi-petang-siang-malam dok melangut kat Pavilion.. Bersidai dekat KLCC.. Merambu dekat Mid Valley.. Mana nak nampai sungai lagi..?? Perasaan pada sungai pun dah hilang.. Kalau anak-anak kampung mungkin ya lagi masih ada aktiviti mandi sungai, ponteng sekolah sambil tahan lukah kat sungai, bawak awek dating-dating tepi sungai..

Sungai pada aku ni terlalu bermakna.. Sebab aku membesar dengan sungai.. Dari kecil lagi aku dah terbiasa dengan sungai.. Berenang dari tebing ke tebing, menyelam dari lubuk ke lubuk, dasar ke dasar.. Macam-macam benda yang aku jumpa.. Ikan, belut, ular air, buaya.. Semua ada.. Alhamdulillah, semua tu mengajar aku menjadi siapa aku hari ini.. Orang yang tak kenal buaya akan cakap, “gila ke apa berenang masuk lubuk buaya..?” Akan tetapi itulah hakikat aku masa zaman kanak-kanak..

Dulu zaman-zaman camping dengan kawan-kawan, selalu aku dengar petua rekaan atau ciptaan kawan-kawan sebaya aku (which is somehow aku rasa betul juga) iaitu kalau nak kencing, cari air yang mengalir, contohnya sungai..! Tujuannya supaya bau hamis hancing tu tak terdedah je berbanding kalau kencing bersepah-sepah ni.. Tapi bagi budak kampung macam aku pula, kencing dekat air sungai mengalir ni jadi kepantangan aku dari kecil lagi.. Sebab apa..? Sebab aku budak kampung.. Air sungai adalah nadi kehidupan kami.. Itulah air untuk minum, itulah air untuk masak nasi dan itulah air untuk kami berwudhuk..! Iyaa.. Memang lah air tu mengalir.. Tapi cuba korang bayangkan, kalau-kalau kau tengah kencing kat sungai belah sini, sedap je rasa.. Lega je tapi kat hujung nun di sana pulak ada laa sorang Hamba Allah ni tengah nak berwudhuk, tak ke tak molek macam tu..? Walaupun air sungai tu, alirannya dah me‘neutralize’kan balik air kencing tu, tapi pandangannya tetap tak molek pada aku..

Sungai adalah nadi kehidupan manusia.. Sungai adalah perjalanan.. Sungai adalah kehidupan.. Sungai adalah siang dan malam.. Sungai adalah masa-masa ribut dan tenang.. Sungai adalah segala-galanya.. Renung-renungkan dan rasailah sungai agar kau lebih kenal erti dan rahsia alam ini..

Syukur ke hadrat Allah Taala, Puteri kesayangan aku, Aisya yang baru menginjak hampir 3 tahun pun sekarang ni dah pandai jerit.. “Ayahhh.. Nak mandi sungaiii..” sebab aku dah biasakan dia dengan alam, sungai dan hutan belantara.. ;)

Leave Comments

Warkah Buat Anakanda..

Posted on Jul 11, 2012 | 0 comments

Kalau-kalau satu hari nanti ayah tiada lagi, maka carilah buku ini..
Buku peribadi yang menyimpan segala yang tersembunyi..
Dari hati seorang manusia ciptaan Ilahi..
Buat jadi pedoman dan panduan diri..
Dalam menjalani kehidupan sehari-hari..
Untuk anakanda kesayangan pengarang jantung hati..
Untuk kamu Puteri Nur Aisya Imani..
Belajarlah membaca jawi, agar satu hari nanti kamu akan mengerti..

Leave Comments

Gurindam Dato’ Tuan Besar

Posted on May 10, 2012 | 1 comment

Dari bawah bertapak ke gunung.. Dari gunung turun ke lembah.. Bahang menjadi dingin, dingin bertukar bahang.. Air bawa angin bertukar angin bawa air.. Sepasang burung bersama fauna rimba sepi menyapa diri membuka salam.. Salam dari alam seberang..  Diuji badai nan kencang menghempas sekujur tubuh seolah tiada henti.. Menyucuk dalam sehingga mati tiada lagi.. Aku terus melangkah pergi..!

Dari lembah turun ke tanjung.. Berlari-lari meredah pekatnya hutan kelam menyimpan sejuta bayangan hitam.. Silam.. Dalam malam lena diulit unggas jadi mimpi yang kelam, belum lagi diri mengalah walau tapak-bertapak mulai pecah.. Darah mengalir terus membengkak.. Pekatnya merah jadi teman dalam sunyi dan sakit yang indah.. Turun ke laut berenang-renang sambil menyanyi lagu hati.. Menyelam-nyelam melihat jernihnya air tiada putusan lagi, terus tenggelam dalam kalut rindu perasaan..

Dari tanjung berenang ke pulau, menghamba diri pada Sang Pencipta.. Masjid dan surau menjadi saksi bahawa Yang Esa itu di cari-cari.. Terhiris tangan serta kaki, tanda mengalir darah lagi.. Darah setia pengikat janji bahawa aku dan kamu tiada mati.. Sesampai di darat menurut jejak.. Jejak Sang Jebat juga Kasturi.. Ternanti-nanti Kekanda Tuah, Hulubalang Besar di Tanah Jawi.. Dalam redha mengejar mati, demi mencari berkat Ilahi.. Seperti sabda Nabi disayangi; ‘Perjuangan ini yang abadi’..

Berjalan lagi.. Menurut tapak ke Setapak Kekanda dan Nenda yang telah hilang.. Hilang dalam zaman ditelan bumi.. Pergi menyahut seruan Ilahi.. Sampai waktu berjumpa lagi..

Inshaallah Taala..!

Leave Comments

Self Portrait: Lelaki Purba

Posted on Dec 21, 2011 | 2 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Dah lama rasanya tak buat sesi fotografi. Dah lama tak memetik kemera yang semakin berhabuk. Dah lama juga tak buat editing gambar dengan Adobe Photoshop. 2-3 hari lepas aku memandu sendirian ke pergunungan Irau dan Berinchang.. Dalam perjalanan pulang singgah ke Lata Kinjang untuk menikmati kesejukkan air terjun dari gunung ini. Lata Kinjang ni dapat dilihat tinggi memuncak dari tepi Lebuhraya Utara-Selatan dan diri terasa seolah-olah terpanggil untuk berhenti di sana.. Kebetulan pula set kelengkapan ‘baju istiadat’ aku memang tersedia dalam kereta, maka aku membuat keputusan untuk membuat sesi ‘self portrait’ di sana.. Gambar-gambar ini di edit menggunakan perisian Adobe Photoshop CS4 dengan cara graphic novel yang di adaptasi dari filem 300..

Nikmatilah.. Seni Melayu lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas dalam siri ‘Lelaki Purba’..

Leave Comments