Pages Navigation Menu

Nukilan Buat Penggiat Aktivis Busana Tradisi Melayu

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh. Syukur Alhamdulillah.. Segala pujian bagi Allah Azza Wajalla, Penguasa sekalian alam.. Selawat serta salam buat Nabi junjungan, Habibullah Muhammad Rasulullah SAW serta ahlul bay’tul Baginda Rasul.. Pertama sekali, hamba menyusun sepuluh jari, mohon pengampunan dari hujung rambut ke hujung kaki.. Seseungguhnya diri hamba sendiri bukanlah kasturi apatah lagi mutiara berseri dalam bidang Busana Melayu Tradisi.. Penulisan yang ditulis ini, ikhlas dari hati.. Mungkin bakal jadi panjang.. Mungkin akan ada yang terasa hati.. Mungkin ada iktibar buat diri.. Mungkin.. Segalanya..

Bacalah.. Bacalah dengan perlahan dan fahamkan maksud yang ingin hamba sampaikan.. Semoga jadi iktibar.. Semoga jadi panduan pada kebaikkan dan jadi sempadan pada mana-mana keburukkan.. Inshaallah Taala.

Pemakaian ‘Busana Tradisi Melayu’ yang dahulunya dipandang ringan dan remeh di kalangan bangsa Melayu sendiri hari ini telah mula kelihatan dikembalikan ‘rohnya’ pada jiwa setiap anak-anak Melayu. Dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini, orang-orang Melayu sendiri malu dan segan untuk memperagakan pakaian pusaka warisan bangsa.. Tetapi tidak lagi hari ini..

Hari ini, anak Melayu dengan berani serta rasa bangga memakai busana lengkap berkeris bersiar-siar di tengah kota besar seperti Kuala Lumpur. Hari ini anak Melayu sudah mula menyimpan songkok (atau disebut ‘serkup kepala’) di dalam gobok buruk dan mula memakai ‘ikat / lilit kepala’ yang kita sebut tanjak / destar / tengkolok.. Hari ini anak Melayu sudah pandai menghargai nilai songket dan kain tenun.. Hari ini anak Melayu telah pandai memilih pending dan bengkung untuk dipakai berbanding tali pinggang berharga ratusan ringgit.. Hari ini anak Melayu sudah mula pandai menilai dan faham peri pentingnya, betapa berharganya, pusaka warisan bangsa sendiri..

Atas dasar memikirkan untung nasib bangsa hamba sendiri hari ini yang berani akan tetapi masih ramai lagi buta dalam hati.. Masih lagi keliru.. Masih lagi tidak tahu akan adat dan adap pemakaian busana Melayu.. Rujuklah sejarah Tuan-Tuan dan Puan-Puan.. Di dalam lembaran sejarah, telah banyak ditulis apabila mana-mana Sultan memerintah negeri berkenan ingin menganugerahkan kepada mana-mana individu yang terpilih, hanya 2 perkara (utama) yang selalu dianugerahkan kepada individu terbabit.. Hanya 2 perkara Tuan-Tuan dan Puan-Puan..

  1. Anugerah ayapan Diraja (Makanan dan minuman yang disantap baginda sedikit dianugerahkan kepada mana-mana individu).
  2. Anugerah sepersalinan pakaian / kain-kain (Yang didatangkan kehadapan individu terbabit dalam upacara penuh adat istiadat disertai Nobat. Ada yang seceper. Ada yang 3 ceper. Ada yang 5 ceper. Dan ada pula yang sepeti atau berpeti-peti bahkan sekapal).

Begitulah tingginya nilai ‘busana Melayu’. Hanya dalam beberapa peristiwa sahaja baginda Sultan menganugerahi tanah jajahan.. Ataupun sungai.. Yang menjadi kebiasaan ialah anugerah persalinan / pakaian..!

Maka.. Beringatlah dalam diri kita sendiri.. Tepuk dada, tanya iman.. Di mana tahap kejujuran kita? Di mana kita berpijak dalam menjunjung kedaulatan busana tradisi tinggalan nenek moyang kita? Setiap persalinan, setiap warna pilihan, setiap tanjak atau tengkolok bukan boleh dipakai sembarangan.. Sedangkan duduk letak ikatan bunga pada kain sampin sendiri perlu dianugerahkan terlebih dahulu, bukan mengikat mengikut hawa nafsu yang maha hebat tak pernah surut.. Kerana memikirkan diri layak.. Kerana memikirkan diri berketurunan hebat, belum menjadikan diri Tuan-Tuan dan Puan-Puan layak untuk yang demikian..

Apatah lagi pemakaian baju layang / baju sikap.. Bukan sebarang-sebarang orang, melainkan Dato’-Dato’ pilihan yang dianugerahkan dengan pangkat dan mandat selain memikul tanggungjawab yang maha berat dan maha hebat untuk digalas..

Hamba faham akan pemakaian selempang (jika menurut anutan persilatan masing-masing), akan tetapi segalanya perlu ada maksud dan pemahaman yang benar dan tepat.. Bukan dipakai begitu sahaja mengikut sesedap rasa.. Begitu juga dengan pemakaian keris.. Keris tidak disisip dua-tiga dipinggang melainkan satu dan penduanya dipegang.. Dan bukan semua orang layak memakai keris pendua melainkan Dato’-Dato’ yang membawa amanat Raja / Sultan.. Yang bergelar.. Yang ‘Pancung Tak Bertanya’.. Apatah lagi mengusung pedang / sundang kuasa kesana kemari..

Adakalanya hamba termenung dan tersenyum sendiri mengenang untung nasib bangsa.. Sudah buta, tertipu dan menipu pula.. Diri bergelar penyimpan / pengumpul keris dan senjata.. Diri berjalan ke segenap pelusuk negara apatah lagi kembara merata-rata mengelilingi Nusantara pustaka pusara.. Beratus manusia.. Beribu ummat Muhammad SAW diri dah berjumpa, tapi masih ego.. Masih bongkak.. Penuh pula dengan rasa sombong dan riak tak mahu menerima pemakaian keris atau senjata pada cara yang sempurna.. Pada cara yang sepatutnya.. Pada cara yang diturunkan turun-temurun.. Maka belajarlah.. Bacalah pustaka tinggalan.. Tanya pada yang tahu.. Tanya pada waris.. Tanya pada guru yang layak.. Buangkan rasa bongkak, sifat riak dan fikiran sombong yang bisa menjadikan hati mati.. Nanti..

Kumpulan ‘Busana Tradisi Melayu Serumpun‘ di dalam laman facebook ini dahulunya diwujudkan dengan hanya ada 3 orang Melayu yang berfikiran gila.. Yang bersemangat gila untuk mengembalikan busana tradisi Melayu menjadi satu kegilaan pada orang-orang gila yang lain diluar sana yang mungkin gila atau mungkin tidak gila.. Tapi hakikatnya kita semua sebenarnya tidak gila.. Apa yang kita lakukan selama ini dalam memperjuangkan dan mengangkat kembali busana warisan pusaka tinggalan moyang leluhur kita.. Kamu-kamu semua adalah pejuang bangsa yang mengangkat kembali maruah serta ‘roh’ dalam pemakaian Melayu.. Maka dengan itu, belajarlah adap dan adat untuk cara yang sebetul-betulnya berbusana Melayu.. Jangan memakai tanjak dengan t-shirt berkolar atau tanpa kolar sesedap rasa.. Jangan memakai kain sampin dengan seluar jeans ciptaan khas untuk pekerja buruh di negara barat.. Kerana pemakaian kita-kita adalah lebih mulia dari memakai Gucci atau Louis Vuitton semata-mata..

Jika ingin berbusana, berbusanalah dengan selengkapnya.. Dengan seadanya.. Dengan sepatutnya.. Dengan caranya.. Adat dan adapnya.. Jika tidak, pakailah pakaian harian seperti biasa.. Untuk ke pejabat pada hari-hari biasa atau untuk ke kedai kopi sahaja..

Setelah lama hamba duduk dalam kumpulan busana ini, telah hamba lihat perihal dan perkembangannya dalam kita-kita menongkah arus kemodenan dunia hari ini, rasanya sampailah masa untuk hamba mengundur diri.. Kerana Tuan-Tuan dan Puan-Puan telah mengerti serta bijak pandai lagi dalam urusan busana sehari-hari.. Perginya hamba dari sini bukan bererti hamba menyepi, apatah lagi mengasing diri kerana sesiapa pun lagi masih boleh terus berhubung jika sudi.. Perginya hamba dari sini atas urusan yang lebih berat menanti.. Atas seruan dari Ilahi buat diri menanti mati..

Hamba susun sepuluh jari, mohon pengampunan yang hakiki.. Atas segala dosa dan khilaf yang terjadi.. Halalkan makan dan minum hamba selama ini atau hutang piutang dari diri.. Kalau-kalau diri ini pernah berkasar peri, maka ampunkanlah hamba dunia dan akhirat, halalkan segala-gala yang terjadi..

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Ikhlas dari,

Tun Muhammad Farul Azri Ibni Tun Haji Muhammad Saleh

Feedback & Comments Here:

%d bloggers like this: