Pages Navigation Menu

Dua Bentuk Cincin di Masjid Sungai Cincin

Masjid Sungai Cincin

Masjid Sungai Cincin, Batu 7 ¾ Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera buat sekaliannya makhluk Al Khaliq seluruh alam semesta.. Pada hari Jumaat Februari 17, 2012 yang lepas bersamaan dengan 25 Rabi’ul Awwal 1433 Hijrah telah aku bermimpi pergi ke satu kawasan masjid lama di tepi sungai. Masjid itu kelihatan agak jelas sepertinya aku pernah ke situ suatu masa dahulu tetapi aku kurang pasti di mana lokasi sebenarnya.. Persekitaran dalam wadah mimpi itu agak kelam dan gelap dalam malam hari dan ketika aku berjalan seorang diri menuju ke arah sungai di tepi masjid, langkah terhenti tatkala melihat sesusuk tubuh lelaki berjubah dan berserban menghampiri. Dalam mimpi itu, lelaki tersebut menghulurkan tangan kanannya seolah-olah ingin memberikan sesuatu kepada aku.. Lalu aku sambut tangannya dan menerima pemberiannya itu dan apabila ganggaman tangan ku dibuka, kelihatan jelaslah dua bentuk cincin yang bertatah batu berwarna gelap sebentuk dan sebentuk lagi bertatah kayu juga berwarna gelap.. Dengan perlahan aku mengangkat wajahku keatas bagi menatap wajah lelaki berjubah tersebut.. Akan tetapi suasananya kabur dan gelap. Tak dapat aku menatap wajahnya.. Dia berlalu pergi.. Tanpa sebarang dialog di antara kami.. Dan aku terjaga dari mimpi.. Tanpa sebarang cincin digenggaman tangan mahupun jari.. Hanya mampu bersedekah Fatihah di dalam hati..

Dunia sepi dalam hati walau diluar masih ribut menjadi..

Masjid Sungai Cincin

Masjid Sungai Cincin, Batu 7 ¾ Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan.

Pada hari Ahad Februari 19, 2012 bersamaan 27 Rabi’ul Awwal 1433 Hijrah tepat jam 9 malam, aku dihubungi oleh Aril dan Ayob untuk mengajak aku beramal malam penghujung bulan Rabi’ul Awwal di Masjid Sungai Cincin, Batu 7 ¾ Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan. Lalu aku bergegas siap dan menjemput Ayob di Hiliran Ampang dan Aril pula telah mendahului pergi bersama Kalam, Lan dan Ijatt. Sesampainya aku di Masjid Sungai Cincin, aku jadi terkedu.. Kerana itulah masjid yang hadir dalam mimpi tempohari.. Dan itulah masjid yang pernah aku jejakkan kaki ku beberapa tahun dahulu dan memori-memori silamnya kembali menerjah ingatan.. Rupa-rupanya keadaan persekitaran masjid itu sudah berubah.. Tidak lagi kelihatan seperti dahulunya.. Dan yang hadir dalam mimpi itu ialah rupa wajah masjid yang baru.. Yang telah diubah-suai meniti arus kemodenan duniawi kini..

Makam Sheikh Muhammad Nor dan ahli keluarganya.

Makam Sheikh Muhammad Nor dan ahli keluarganya.

Kawasan perkampungan sekitar Masjid dan Masjid Sungai Cincin itu sendiri dianggarkan berusia sekitar 120 tahun kini.. Kawasan Sungai Cincin ini telah dibuka oleh Sheikh Muhammad Nor Al Kholidi. Namanya tersenarai sebagai 7 Wali Melayu, sebaris nama – nama Ulama’ terkenal seperti Tok Kenali, Tokku Paloh, dan Tuan Hussein Kedah Al-Banjari (7 Wali Melayu; Penerbitan Hikmah, 1993). Beliau tersenarai kerana ketokohan beliau sebagai Pengasas Kampung Islam Contoh; Membangun perkampungan berteraskan Syariat, menegakkan Pusat Tarbiah Wa Ta’lim dan menguatkuasa undang-undang Islam. Tanah ini adalah kurniaan Sultan Selangor Darul Ehsan kepada Almarhum Sheikh Muhammad Nor bagi didirikan sebuah perkampungan Islam yang lengkap dengan memakai undang-undang Allah SWT dan kelas-kelas pengajian pondok di bawah takrif Tariqat Naqshabandiah-Khalidiyah yang diketuai oleh Sheikh Muhammad Nor sendiri. Sheikh Muhammad Nor bukan sahaja dipandang sebagai seorang Ulama’ yang berwibawa malahan beliau dianggap sebagai seorang Wali Allah yang memiliki pelbagai karamah dan beliau menjadi tempat rujukan bagi banyak permasalahan berkaitan Agama dan masyarakat.. Semasa Tanah Melayu diserang Jepun, Kampung Sungai Cincin bukan sahaja tidak putus makanan, bahkan melimpah ruah pula rezeki yang dikurniakan Allah Taala. Perkampungan ini juga tidak tergugat langsung dengan kehadiran tentera Jepun. Kehidupan dan pengajian Islam berjalan seperti biasa setiap hari tanpa sebarang bentuk gangguan..

Kolah wuduk lama yang telah tiada lagi.

Kolah wuduk lama yang telah tiada lagi.

Sayangnya kolah untuk berwudhuk yang terdapat di hadapan kawasan masjid ini suatu ketika dahulu telah pun ditutup dan dikambus demi meluaskan kawasan ruang masjid. Apa yang tinggal kini hanyalah saki-baki dari binaan asal Masjid Sungai Cincin termasuk sebuah lubang liang lahat kubur olok-olok di bahagian luar mihrab Masjid Sungai Cincin yang kini berusia lebih kurang 100 tahun. Lubang sedalam kira-kira dua meter yang hanya seluas 2.16 meter persegi itu mungkin tidak pernah digunakan untuk menanam sesiapa namun pengalaman dibiarkan di dalam liang lahad di dalam kubur itu untuk satu tempoh, dikatakan mampu mengetuk kesedaran dalam diri sesiapa saja tentang kematian. Melalui ajaran tarikat Naqsabandiyah yang diketuai Sheikh Muhammad Nor, para pengikutnya berpeluang merasai pengalaman ditinggalkan di dalam lubang kubur itu. Bukan setakat itu, lubang kubur itu juga ditutup untuk memberikan kesan yang paling hampir dengan pengalaman sebenar apabila satu-satu jasad itu dikebumikan. Malah, dikhabarkan sesiapa yang mencuba pengalaman itu akan dapat merasai alam ghaib seperti yang terdapat di alam kubur.

Lubang liang lahat olok-olok yang didirikan Sheikh Muhammad Nor.

Lubang liang lahat olok-olok yang didirikan Sheikh Muhammad Nor.

Daripada cerita orang kampung, cara seseorang itu diturunkan ke dalam lubang kubur itu hampir sama dengan cara sebenar cuma dia tidak dimandikan atau dikafankan. Individu yang akan dimasukkan ke dalam liang lahat kubur tersebut juga diminta memakai pakaian serba putih dan diiringi bacaan wirid ketika diturunkan ke dalam kubur itu, dan kini selepas lebih 100 tahun berlalu, kubur itu telah berdinding simen dan dipagar tetapi masih dibuka bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk mencuba mengalami rasa ditinggalkan seorang diri di dalam kubur..

Inshaallah Taala, aku akan kerap semula kembali menziarahi Masjid Kampung Sungai Cincin ini memandangkan lokasinya yang hanya terletak di pinggir kotaraya pesat Kuala Lumpur.. Dan yang pastinya, 2 bentuk cincin yang aku terima dalam mimpi terdahulu masih belum ada dalam genggaman tangan zahir ini.. Inshaallah suatu hari nanti, bila sampai waktu itu..

Al Fatihah buat Sheikh Muhammad Nor dan keluarganya serta seluruh Muslimin dan Muslimat amnya..

Balai Makam Sheikh Muhammad Nor.

Balai Makam Sheikh Muhammad Nor.

2 Comments

  1. Assalamu’alaikum wrt wbt,
    menarik juga mimpi saudara ye..
    saya cicit Allahyarham..terima kasih atas lawatan & do’akan kebaikan untuk Allahyarham..

  2. Assalamualaikum, sebenarnya banyak lagi kisah menarik yang terdapat tentang masjid sungai cincin dan bentuk masyarakat Islam di sini pada akhir tahun 60an dan awal 70an. Perkampungan Islam di sini selain hidup berSyariat turut juga melalui proses kehidupan yang unik dan mesra alam. Masa dulu tak ada kemudahan sistem pengairan seperti sekarang tetapi masyarakat di sini mempunyai sistem pengairan yang sangat unik. Air bersih mengalir dari tali air mesuk ke dalam rumah setiap ahli khariah melalui dalam ruang dapur rumah dalam ukuran satu kaki setengah dalam keadaan bersih tanpa tercemar. Bayangkan bagaimana segar dan suasana yang tidak pernah dapat kita alami kini. Etiap orang yang ingin menjadi penduduk di sini diau-alukan kedatangan mereka dan boleh mendirikan rumah di mana sahaja tempat kosong dengan syarat bila nak pindah tak boleh dijual hanya boleh diwakafkan saja. Saya masih tetringat Arwah Hj. Muhammad Noh pernah mengadakan kenduri …saya tak ingat kenduri apa! Beliau sendiri yang masak…masak rendang pucuk ubi. Punnya lah sedap…MasyAllah sampai makan menjilat jari. Macam mana ramai pun orang yag datang masakan yang dimasak oleh Arwah tetap cukup dan tak habis-habis. Dulu saya berhasrat untuk bersekolah di sekolah yang didirikan oleh Arwah. Setiap pagi saya akan ke sekolah tersebut mengintai dari celah tingkap mencuri-curi dengar apa yang diajarkan. Dulu memang saya bercita-cita nak jadi ustazah. Nak jadi cerita tengah dok tengendap-ngendap Arwah menegur saya. Terkejut beruk saya dibuatnya. “Apa anak buat kat sini? tanya Arwah lembut. “Ustaz saya nak belajar kat sini boleh tak! soal aku dengan nada perlahan. Sebab terasa dah buat salah. Boleh ..pegi tanya emak dulu! balas Arwah senyum. Saya pulang dengan harap menggunung tinggi. Tapi hasrat saya tetap tak kesampaian sebab arwah emak nak saya belajar di sekolah Inggeris.Kalau boleh jadi doktor ke…lawyer ke…jadi DO ke!Apa pun sekarang ni walau pun tak belajar kat sekolah tu tapi saya tetap dapat belajar ilmu yang diajar oleh Arwah dengan anak murid Arwah sekarah ni…Ustaz Karamu (Ariffin) InsyAllah.

Feedback & Comments Here:

%d bloggers like this: