Pages Navigation Menu

Istiadat Mandi Keris Awal Muharram (Maal Hijrah)

Posted on Nov 25, 2011 | 1 comment

Awal Muharram kembali lagi. Rasanya baru sahaja aku sambut tahun Hijrah 1432 yang lalu, kini dah masuk tahun 1433 pula. Cepat betul masa berlalu. Setiap tahun bila tibanya Awal Muharram ini, sambutan Maal Hijrah akan diadakan di merata-rata dunia termasuk di Malaysia sendiri. Dan setiap tahun itu jugalah aku akan sibuk dengan istiadat mandi keris pada setiap bilah yang ada dalam simpanan aku..

Bila kita bercakap soal mandi keris pada masyarakat umum, ramai yang mempersoalkan relevannya istiadat itu pada masa kini. Malahan tidak kurang ramai juga yang mengaitkan amalan mandi keris itu merupakan satu perbuatan khurafat, syiriq dan menyekutukan Allah SWT. Ada juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa amalan ini bersangkutan pada kuasa-mistikal-ghaib  pada keris-keris tersebut..

Seperti biasa aku hanya tersenyum sinis bila mendengar kata-kata yang sedemikian. Pada aku, sesuatu urusan itu mudahnya dilihat begini – Kalau kita melakukan dengan cara memuja jin dan sebagainya (cara-cara yang terlarang), maka dengan itu kita telah berdosa besar dengan menyekutukan Maha Pencipta. Dosa itu digelar syiriq dan merupakan dosa yang tidak akan diampunkan Allah SWT. Nauzubillah Minzalik! Akan tetapi, kalau cara yang kita gunakan itu tidak melibatkan penggunaan, pemujaan semangat, jin dan sebagainya, dan selagi kita tidak melanggar hukum syarak dan duduk dalam landasan serta aturan yang betul, Inshaallah.. Kita selamat di jalan Allah.

Lumrahnya kita sebagai manusia ini terlalu mudah menghukum seseorang atau sesuatu perkara tanpa kita mengenal dengan pasti tentang apa yang diperkatakan, diperlakukan dan urusan-urusan yang dijalankan oleh seseorang yang lain itu. Begitu ceteknya dan jumudnya pemikiran kita sehingga terus jatuh hukum mengatakan bahawa perbuatan ini syiriq.. Berdosa.. Pakai jin dan sebagainya.. Aku tak nafikan memang terdapat orang-orang yang menggunakan khadam atau jin dalam istiadat mandi keris mereka, tetapi di sini lah relevannya penulisan ini untuk mengajak pembaca melihat dari sudut yang lain pula serta lebih luas skopnya tentang istiadat mandi keris yang langsung tidak perlu penggunaan khadam atau jin..

Ramai yang mempersoalkan mengapa istiadat mandi keris dilakukan pada Awal Muharram (Maal Hijrah) setiap tahun? Di sini aku ingin berkongsi satu jawaban mudah.. Istiadat mandi keris dilakukan setahun sekali pada setiap Awal Muharram dari 1 sehingga 10 haribulan adalah kerana bulan Muharram ini adalah bulan yang diharamkan berperang oleh Allah SWT.. Mudah! Dari sinilah datangnya adat yang diwarisi turun temurun oleh bangsa Melayu dan orang Islam kerana hanya pada bulan ini sahaja (dalam kalendar Hijrah), para pahlawan, tentera, pendekar, panglima yang terdahulu tidak berperang, bertarung dan sebagainya. Bulan Muharram ini juga para pahlawan dan pendekar tadi itu semua mengisi masa mereka dengan berkhalwat, bertasbih kepada Allah, mengabdi diri pada Al Khaliq.. Itu sahaja. Keris yang sudah terbiar tersimpan (atau mungkin digunakan) selama setahun, pastinya sudah kotor dan berkarat.. Bisanya juga sudah mulai hilang.. Maka dalam kesempatan setahun sekali inilah diambil bagi mencuci, membersihkan dan memberi bisa semula pada mata bilah keris..

Bulan Muharram ini di gelar Rasulullah SAW dalam hadisnya sebagai ‘Syahrullah’ – Iaitu ‘Bulan Allah’. Rasulullah bersabda : “Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa di bulan Allah, Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam”. (HR. Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai’ dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah dengan status hadis marfu’). Dari Nukman bin Saad dari Ali bin Abi Thalib, : Telah bertanya kepada beliau seorang lelaki. Katanya, “Apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadan?”, Maka jawab Ali, “Aku tidak pernah mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah SAW sedangkan aku duduk disampingnya. Maka katanya; Wahai Rasulullah, apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadan?”. Jawab Nabi SAW, “Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadan maka berpuasalah pada bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah padanya Allah telah mengampunkan dosa keatas kaum dan akan mengampun dosa keatas kamu.” (HR. Tirmidzi dengan status hadis hasan gharib). Jadi di sinilah timbulnya kemuliaan atau keutamaan yang dikaitkan dari sudut penjagaan keris atau senjata lain pada bulan Muharram. Berikut di bawah ini pula aku sertakan ayatul Al Quran mengenai status perang / membunuh dalam bulan Haram di sisi Allah SWT:

Mereka bertanya tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar. Namun menghalang (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) dari pada membunuh.
(QS AL-Baqarah (2) :217)

Nah..! Itu sebab-sebab pertama mengapa istiadat mandi keris itu dilakukan pada Awal Muharram. Adakah ianya menimbulkan syiriq atau menyekutukan Allah SWT? Aku akan huraikan lagi seterusnya.. Bila kita bercakap soal bisa keris pula, ramai yang beranggapan bahawasanya keris itu mempunyai khadam yang boleh menimbulkan bisa pada mata bilah besi tersebut.. Pada pandangan aku ini ternyata salah kerana apa dayanya seekor atau beribu-ribu ekor khadam jin yang duduk pada melebihi kuasanya mereka itu dari Allah Taala..? jawabannya mudah – TIDAK ADA! Yang berkuasa ke atas segala sesuatu hanyalah Allah SWT maka itu kita harus menyandarkan harapan dan segalanya hanya pada Allah..! Jangan menyekutukanNya..! Mari kita lihat ayat dibawah ini yang di petik dari Surah Al Hadid (Surah besi) yang diturunkan Allah sewaktu perang Uhud:

Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan Mizan (keadilan, keseimbangan, keselarasan, kesepadanan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka mempergunakan besi itu), dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
(al-Hadid 57: 25).

Nah..! Jawaban kedua dari mana datangnya kekuatan pada besi.. Tidak lain dan tidak bukan hanya dari Allah Taala semata-mata. Jadi apa relevannya lagi memasukkan khadam atau jin pada mana-mana besi untuk dibuat senjata? Pada aku TIDAK ADA kerana aku hanya menyandarkan segala sesuatu pada Allah semata-mata! Mungkin pada sesetengah manusia yang inginkan keris yang sakti-hebat sehingga boleh terbang sendiri dan sebagainya memerlukan khadam dan aku hanya mampu menasihati untuk menghentikan serta meninggalkan amalan tersebut kerana itu jelas bertentangan dengan Hukum Syarak dan berdosa besar! Nak buat apa ada keris terbang sekali pun kalau yang terbang itu tak boleh dihantar terus ke bumi Jerusalem bagi menyelamatkan Muslim Palestin..? Tak guna pun.. kah kah kah..!

Tak dinafikan juga, ada pula jenis-jenis jin yang sanggup menghamba diri dengan sendirinya duduk pada mana-mana bilah keris atau senjata lain bagi mencari tuan baru. Nasihat aku, jangan layan khadam tu.. Buat tak tahu. Tak perlu nak perasapkan keris tu dengan kemenyan dan sebagainya atas tujuan nak bagi makan Khadam ataupun jin (kecuali bagi tujuan pengeringan dan mewangikan – Ini pendapat peribadi aku tetapi tidak perlu kerana kita kini ada alternatif kepada cara lama untuk mengeringkan keris). Buat apa nak bagi jin tu makan free..? Tak ada hasil pun..! Oleh itu, buat tak tahu saja lah dan berdoa pada Allah SWT agar makhluk itu segera meninggalkan besi tersebut.. Inshaallah!

Baiklah.. Kita cuba tinggalkan perdebatan mengenai isu-isu dan pandangan khalayak tentang Istiadat Mandi Keris dan kaitannya dengan penggunaan khadam dan jin, segalanya dah aku terangkan. Seterusnya aku ingin sampaikan satu lagi pengetahuan secara percuma bagi yang berminat untuk mengetahui cara-cara ‘memandikan’ keris. Selama berpuluh tahun aku terlibat secara langsung dalam dunia persilatan dan perkerisan, aku telah jumpa ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara untuk mandikan keris. Tidak dinafikan terdapat pelbagai cara. Kalau di Tanah Melayu ini sahaja sudah banyak cara dilakukan, apatah pula kalau di Indonesia.. Sememangnya banyak!

Di sini aku akan tunjukkan salah satu cara tradisi oleh masyarakat Melayu lama yang dikenali dengan nama ‘Sintuk Limau’. Bahan-bahan yang perlu disediakan adalah dari jenis yang mudah didapati dan tidak langsung melanggar hukum Syarak agama Islam.

  1. Sediakan bilah keris yang ingin dicuci.
  2. Sediakan batang pisang yang segar berukuran 3 hingga 4 kaki panjang.
  3. Beberapa biji limau nipis.
  4. Air kelapa tua / Cuka makanan (bagi memberi ketahanan pada besi sekaligus membuang karat). Ini juga akan bertindak sebagai penebat besi dari karat.
  5. Seruas buluh yang berukuran sama panjang dengan mata bilah keris yang ingin dicuci.
  6. Air mawar (Bagi mewangikan bilah) ATAU seeloknya Minyak Atar (Unsur minyak bagi memberi ketahanan pada besi. Jenis atar bagi mewangikan).
  7. Proses pengeringan bilah dari air. Jangan dilap atau sapu dengan kain kerana itu bukan adat dan adapnya ‘berkeris’. (Dahulukala orang Melayu menggunakan asap kemenyan yang secara perlahan-lahan akan mengeringkan air pada bilah. Tetapi zaman sekarang, kita boleh gunakan alat pengering rambut atau ‘hair-dryer’).

Apabila bilah keris sudah tersedia, tikamkan mata serta bilah keris itu tadi pada batang pisang beberapa kali bagi membuang karat peringkat pertama. Setelah keris itu basah dari hasil batang pisang tersebut, kita masuk ke peringkat kedua dengan menggosok mata bilah dengan limau nipis sehingga hilang karat tersebut. Dari sini, bilah keris akan kelihatan putih berseri-seri dan adakalanya binaan pamor juga akan hilang dari bilah keris. Tetapi jangan risau, pamor yang indah itu akan kembali semula. Kemudian, pecahkan sebiji kelapa tua dan masukkan airnya (atau cuka makanan) di dalam ruas buluh yang tersedia tadi (yang sama panjangnya dengan mata bilah keris) dan rendam. Seeloknya, biarkan ianya semalaman bagi mendapatkan hasil. Selepas merendam ianya semalamam, keluarkan bilah keris itu dari ruas buluh, basuhkan dengan air mawar (atau air rendaman beras) bagi mencuci sisa karat yang masih berbaki. Jika ingin mewangikan bilah keris itu pula, maka sapukan dengan minyak atar dan yang sebaik-baik minyak bagi tujuan ini adalah minyak Zafaron, minyak Misik, minyak Gaharu, minyak Cendana atau kalau ada kenalan dari Indonesia, cuba dapatkan ‘Warangan’. dengan penyapuan minyak tersebut, bilah keris akan kembali menjadi hitam dan pamor akan kembali kelihatan. Akhir sekali, proses pengeringan mata bilah tersebut..

Mata bilah keris disediakan bersama batang pisang.

Mata bilah keris disediakan bersama batang pisang.

Tikamkan mata bilah keris pada batang pisang bagi membuang karat peringkat pertama.

Tikamkan mata bilah keris pada batang pisang bagi membuang karat peringkat pertama.

Air kelapa tua digunakan bagi merendam mata bilah keris.

Air kelapa tua digunakan bagi merendam mata bilah keris.

Rendamkan mata bilah keris di dalam ruas buluh berisi air kelapa tua.

Rendamkan mata bilah keris di dalam ruas buluh berisi air kelapa tua.

Sediakan limau nipis yang dibelah bagi memudahkan proses mencuci.

Sediakan limau nipis yang dibelah bagi memudahkan proses mencuci.

Gosokkan limau nipis pada mata bilah keris bagi membuang karat peringkat kedua.

Gosokkan limau nipis pada mata bilah keris bagi membuang karat peringkat kedua.

Leave Comments

Memanah Tradisional & Berkuda

Posted on Nov 15, 2011 | 2 comments

Nabi Muhammad Rasulullah SAW pernah bersabda; “Pelajarilah oleh kamu memanah maka sesungguhnya di antara dua jarak memanah itu (jarak pemanah dan sasarannya) adalah bandingannya seumpama satu taman dari taman-taman Syurga” dan “Ajarkanlah anak-anak kamu berenang, memanah dan berkuda kerana ketiga perkara itu bakal memberi faedah kepadanya”.

Sesungguhnya Rasulullah SAW dikhabarkan tidak pernah berenang, tetapi Baginda tahu akan faedah dan kepentingan ketiga-tiga perkara ini bagi umat akhir zaman. Ketiga-tiga ilmu dan pengetahuan ini adalah penting bagi menghadapi siri peperangan akhir zaman nanti. Akan tetapi timbul persoalan ‘Bilakah peperangan tersebut?’ – Tiada jawaban yang dapat diberikan kerana ianya di luar bidang pengetahuan manusia. Telah digambarkan di dalam hadis-hadis Nabi dan Al Quran bahawasanya peperangan akhir zaman itu PASTI BERLAKU dan manusia akan kembali berperang dengan cara lama iaitu berkuda, menggunakan pedang, memanah dan sebagainya. Tiada lagi minyak di dunia ini bagi menghidupkan jentera-jentera ciptaan manusia. Tiada lagi teknologi yang dapat membantu manusia dan di sinilah relevannya ilmu-ilmu pengetahuan yang tersebut.

Jika kita mempunyai ilmu-ilmu pengetahuan yang tersebut dan kalau-kalau peperangan akhir zaman itu terjadi dalam zaman kita ini (Wallahualam) maka sekurang-kurangnya kita telah bersedia melengkapkan diri dan kalau bukan dalam zaman ini sekali pun, kita tidak akan rugi apa-apa pun malahan mendapat ganjaran pahala pula kerana mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW. Begitulah indah dan mudahnya agama Islam dan betapa Maha Pemurahnya Allah SWT mengurniakan pahala kepada setiap hamba-hambaNya.

Berdasarkan prinsip-prinsip diatas tersebut juga kini aku mula mengambil inisiatif dari Sunnah Rasulullah SAW tersebut bagi mencuba dan mempelajari aktiviti dalam bidang memanah dan berkuda ini, Inshaallah. Di dalam posting ini juga aku ingin memimta kepada mana-mana pembaca atau sahabat handai yang berminat untuk bersama-sama mencuba aktiviti ini untuk berhubung dengan aku secara meninggalkan komen pada posting ini. Mungkin kita boleh mendapatkan harga yang lebih murah jika kita mendaftar bersama secara kumpulan. Aku juga telah berniat bahawasanya bila sampai waktunya nanti, Puteri kesayangan aku juga akan dihantar untuk mempelajari dan menjalani aktiviti ini, Inshaallah.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi Pemanah iaitu: www.pemanah.net. Antara kebaikkan-kebaikkan yang bakal kita perolehi dalam aktiviti memanah berkuda ini ialah seperti berikut:

  • Bentuk lekuk badan belakang kuda dikatakan baik untuk merawat masalah tulang belakang manusia. Ketika pergerakan menderap (galloping) iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, ia menyebabkan ruas tulang belakang (vetebra) manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni dan merangsang saraf-saraf tulang belakang seolah-olah diurut.
  • Kajian saintifik membuktikan pakar kiropraktik (rawatan terapeutik mengatasi kesakitan kesan fungsi tidak normal sistem saraf) tidak mampu melakukan gerakan natural tulang veterbra ketika individu menunggang kuda.
  • Seluruh anggota; tulang rangka; otot-otot, organ viseral (struktur dan organ dalaman di dalam rongga tubuh) termasuk sistem penghadaman, saraf, otot voluntari, organ perkumuhan malah geseran kepada organ seksual akan terangsang secara optimum.
  • Penunggang kuda yang aktif selalunya bebas dari mengalami sakit belakang. Menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab berlaku rangsangan terhadap saraf kranial ketika gerakan menderap kuda.
  • Aktiviti memanah pula melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan keseimbangan tubuh badan.
  • Pemanah yang emosinya tertekan, amat mudah tersasar panahannya. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.
  • Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya sukar untuk menjadi pemanah yang baik.
Gambaran tentera berkuda akhir zaman.

Gambaran tentera berkuda akhir zaman. (Wallahualam Bissawab).

Leave Comments

کمباليقن توليسن جاوي | Kembalikan Tulisan Jawi

Posted on Nov 10, 2011 | 1 comment

باتو برسورت ترڠݢانو دتوليس دالم توليسن جاوي. اوندڠ٢ کانون ملاک جوݢ دتوليس دالم توليسن جاوي. مالهن باتو٢ نيسن اورڠ٢ يڠ تردهولو جوݢ دأوکير دالم توليسن جاوي. سݢالا يڠ دکارڠ اوليه اورڠ٢ ملايو دهولو ترماسوق کتاب٢ لاما اداله د دالم توليسن جاوي. بݢيتوله تݢوهڽ بڠسا ملايو دڠن ڤنوليسن جاوي. ڤنوليسن جاوي اداله ملايو دان ملايو ايت جاوي. بڠسا جاوي. بني جاوي

Masih adakah sesiapa yang masih bisa membaca penulisan di atas tersebut? (Lebih teruk lagi jika mungkin komputer anda tiada terus perisian Jawi, maka hanya kotak-kotak kosong yang kelihatan di atas). Penulisan di atas tu sengaja aku tuliskan dalam tulisan Jawi bagi menilai kembali tahap penulisan Jawi aku sendiri.. Dan, kalau anda masih mampu membacanya dengan baik, maka tahniah lah kerana anda masih seorang Melayu! Hahaha.. Ada seorang yang bijaksana pernah berkata pada aku; “Bagaimana nak kenal seorang Melayu yang benar-benar Melayu? Caranya ialah dengan melihat pada orang yang tersebut. Orang Melayu tu berbahasa Melayu. Berpakaian baju dan cara Melayu serta membaca dan menulis di dalam tulisan Jawi.. Itu lah Melayu!” Aku setuju dengan kata-kata tersebut. Tapi apakan daya kita, penulisan Jawi semakin hari semakin disisihkan oleh generasi-generasi hari ini. Malahan ada yang menolak terus dan buta pada penulisan pembacaan Jawi.

Ketahuilah oleh mu wahai generasi-generasi hari ini dan akan datang, selain senjata, ilmu pengetahuan, pakaian, adat dan adap Melayu – Tulisan Jawi juga adalah antara warisan bangsa turun-temurun yang perlu kita pertahankan agar tak hilang ditelan zaman. Tulisan Jawi telah terhasil sejak beratus tahun dahulu dan ia digunakan berabad-abad lamanya. Itulah gaya penulisan serta huruf-huruf yang diguna pakai oleh Tok Nenek kita dahulu kala, bukannya A-B-C huruf Romawi hari ini. Lebih menyedihkan hari ini ada pula pihak-pihak yang cuba memadamkan terus penggunaan tulisan Jawi di tempat-tempat awam di sekitar Tanah Air. Apatah lagi bila Utusan Melayu, akhbar bertulisan Jawi juga kini telah menjadi mustahil untuk kita menatap. Hilang terus..

Teringat aku akan satu hadis iaitu yang berbunyi begini; “Man ‘Arofa Nafsahu, Faqod ‘Arofa Robbahu yang bermaksud “Barang siapa yang mengenal jati dirinya, maka ia kenal Tuhannya.” Jadi apakah jati diri anak-anak Melayu hari ini..? Manchester United? Justin Bieber? Kimora Lee Simmons? atau masih lagi jati dirinya seperti Sultan Alau’uddin Riayat Shah? Tepuk dada tanya iman dan akal.. Kalau bukan kita yang menjaga dan mewarisi, maka siapa lagi? Jangan sampai anak cucu tak kenal lagi bangsa sendiri. Bangsa yang suatu masa dahulu agung dan hebat yang kini hanya tinggal layu-layuan..

Akhbar Utusan Melayu yang kini telah hilang

Akhbar Utusan Melayu yang kini telah hilang di bumi Melayu.

Leave Comments

Kembali Kepada Fitrah (Bahagian #3 – Akhir)

Posted on Nov 4, 2011 | 3 comments

Kisah-kisah dan paparan fotografi sebelumnya:
Kembali Kepada Fitrah (Bahagian #1)
Kembali Kepada Fitrah (Bahagian #2)

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Ini adalah siri akhir dari penulisan kisah ‘Kembali Kepada Fitrah’ yang aku tuliskan di blog ini sejak beberapa bulan yang lepas. Inshaallah mulai dari penulisan akhir bagi siri ini, aku akan menggunakan sepenuhnya posting di dalam Bahasa Melayu demi memartabatkan lagi lingua-franca para penduduk Nusantara ini. Kecuali pada penulisan yang akan datang di mana golongan sasaran pembacanya aku ingin arahkan kepada bangsa asing, maka aku akan menggunakan bahasa Inggeris. Kesedaran ini semakin memuncak selepas aku menghadiri Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu di Melaka baru-baru ini bersama Ayahanda tercinta. Tapi bukan itu yang aku nak kisahkan di sini (Inshaallah di penulisan akan datang), tetapi aku ingin menyambung wacana perjalanan aku mencari Tuhan dan diri..

Seperti yang telah aku janjikan, maka aku akan bercerita mengenai Masjid Melayu lebuh Aceh dan juga Opu Daeng Perani..

Bismillahi Ar Rahman Ar Rahim..

Sesampainya aku di Pulau Pinang, aku teruskan hajat menziarahi Masjid Melayu Lebuh Aceh. Masjid bersejarah ini didirikan di kawasan penempatan Melayu-Aceh Pulau Pinang (yang kini menjadi penempatan Cina) oleh Tengku Syed Hussain Al-Idid iaitu seorang kerabat Diraja dari Kesultanan Aceh (yang berdarah Arab) sekitar tahun 1808. Selain tugasan Tengku Syed Hussain ini sebagai pelayar, pedagang dan peniaga, beliau juga banyak berjasa dalam usaha dakwahnya menyebarkan Islam dan telah dianggap sebagai ketua bagi penduduk Melayu-Aceh di sini. Dan ada pula yang mengatakan bahawasanya beliaulah manusia pertama yang membuka penempatan Melayu dan penempatan manusia awal di Pulau Pinang. Sejarah umum hari ini mengajar kita bahawasanya manusia pertama yang menjumpai Pulau Pinang ialah Francis Light pada tahun 1786 dan ini ternyata salah kerana orang Melayu telah mula menduduki Pulau Pinang sejak dari tahun 1300-an (masehi) lagi dan Pulau Pinang merupakan pulau tempat permainan dan padang buruan anak-anak Raja Kedah sejak dahulu lagi.

Apabila Tengku Syed Hussain Al-Idid wafat, jenazahnya telah dikebumikan bersebelahan dengan Masjid Melayu Lebuh Aceh ini bersama ahli keluarganya dan pengikut yang rapat.

Kawasan Lebuh Aceh ini juga merupakan kawasan di mana orang-orang Aceh berundur (dan akhirnya menetap) apabila Aceh terlibat di dalam siri peperangan bersama Belanda pada tahun 1870 sebelum Belanda berjaya menjajah Aceh pada tahun 1873. Berikut adalah gambar-gambar sekitar Masjid Melayu Lebuh Aceh dan Makam Tengku Syed Hussain Al-Idid di Pulau Pinang.

Ruang solat di dalam Masjid Melayu Lebuh Aceh

Ruang solat di dalam Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Kolah atau kolam bagi kegunaan berwudhuk (Ruang berwudhuk seperti ini tidak lagi kelihatan di zaman sekarang).

Kolah atau kolam bagi kegunaan berwudhuk (Ruang berwudhuk seperti ini tidak lagi kelihatan di zaman sekarang).

Balai luar Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Balai luar Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Menara azan Masjid Melayu Lebuh Aceh

Menara azan Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Makam Tengku Syed Hussain Al-Idid bersebelahan dengan masjid

Makam Tengku Syed Hussain Al-Idid bersebelahan dengan masjid.

Penulis bergambar kenangan di hadapan Makam Tengku Syed Hussain.

Penulis bergambar kenangan di hadapan Makam Tengku Syed Hussain Al-Idid.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Antara makam-makam lama ahli keluarga dan pengikut rapat Tengku Syed Hussain.

Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Masjid Melayu Lebuh Aceh.

Begitulah keadaan di sekitar Masjid Melayu Lebuh Aceh serta sejarah ringkas mengenainya dan penempatan Melayu-Aceh di Pulau Pinang. Selesai bersolat Zohor di masjid bersejarah ini, aku meneruskan perjalanan untuk kembali ke Kuala Lumpur setelah hampir 3 hari berada di Pulau Pinang. Tetapi memandangkan aku kini berada di kawasan utara Semenanjung Malaysia, aku mengambil keputusan untuk menziarahi satu lagi makam lama di kawasan Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam Kiri, Kedah Darul Aman.

Di sini juga ada cerita dan sejarahnya. Sejak kecil, aku dan adik-adik sering diceritakan oleh Ayahanda bahawasanya keluarga kami ini pernah ada pertalian dengan Istana Kedah (Wallahualam – Kajian salasilah ini masih lagi dilakukan sehingga kini oleh Ayahanda, Paklang, Paklong, Pakcik Baharon dan aku sendiri) kerana terdapat beberapa koleksi senjata dan peralatan istiadat istana di rumah Tok Wan. Barangan senjata (antaranya keris dan tekpi) serta peralatan ini disahkan oleh Ayahanda sendiri terdapatnya ukiran yang berupa cop logo rasmi Istana Kedah yang mana mengikut kata beliau, hanya golongan kerabat sahaja yang dibenarkan memiliki atau menyimpan barangan tersebut. Akan tetapi sayangnya, selepas ketiadaan Arwah Tok Wan pada 1991, segala kelengkapan ini terus hilang sehingga kini. Tak tahu lagi kemana perginya. Yang nyatanya bukannya ghaib sendiri, tetapi mungkin Arwah Tok Wan atau Arwah Tok Jah (Isterinya) sendiri telah lama membuangkan peralatan ini.. Wallahualam.

Kisah marhum yang mangkat di Sidam Kiri Kedah ini juga ada kena-mengena dengan salah satu keris lama yang berada dalam simpanan aku. Keris ber-lok 7 yang berusia hampir 400 tahun ini telah pernah aku bawakan kepada ramai pandai keris dan pandai besi untuk melihat-lihat keadaannya dan boleh dikatakan hampir semua pandai keris tersebut mengatakan satu kenyataan yang sama iaitu bahawasanya keris ini adalah kepunyaan salah seorang moyang aku yang merupakan seorang pahlawan besar yang pernah berjasa di Tanah Melayu. Bukannya aku nak percaya pun dengan kisah-kisah mulut yang sedemikian ini (kerana ini memang sifat aku sejak dulu lagi yang tak mudah percaya, malahan tak ambil pusing langsung pada kisah-kisah mulut melainkan dibuktikan secara fakta dan hujah yang kukuh yang disertakan bukti) tetapi berdasarkan kajian aku secara kecil-kecil, mungkin ada kebenarannya.. Mungkin.. Kerana masih terdapat ‘missing-links’ atau kisah yang belum lengkap sepenuhnya dalam kajian salasilah keluarga yang sedang diusahakan.. (Wallahualam Bissawab).

Jadi inilah kisah (secara ringkas) tentang Opu Daeng Perani – Seorang pahlawan Melayu-Bugis lima saudara yang kembara keluar dari dunia Alam Bugis menuju ke semenanjung Tanah Melayu bagi mencari kehidupan baru. Opu Daeng Perani ibni Opu Tendriburang Daeng Rilaga Ibni La Maddusalat – Raja kepada Kerajaan Melayu Luwuk. Daeng Perani dikatakan mempunyai 5 orang adik beradik iaitu Daeng Perani (beliau sendiri), Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi dan kisah-kisah kembara mereka-mereka ini terdapat di dalam kitab karangan Raja Ali Haji iatu Tuhfat Al-Nafis dan Salasilah Melayu-Bugis serta Syair Duka Nestapa karangan Sultan Ahmad Tajuddin Mukkaram Shah. Mereka 5 bersaudara ini telah banyak memainkan peranan besar apabila melibatkan diri secara langsung dalam politik istana Johor, Linggi (Negeri Sembilan), Selangor, Perak dan Kedah.

Pada awalnya, Daeng Perani dan saudaranya terlibat dalam politik Johor, membantu Raja Sulaiman Ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mengalahkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, (1788 – 1722) dan menabalkan Raja Sulaiman sebagai Sultan Johor bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722 – 1760), bersemayam di Pulau Bintan. Sebagai mengenang jasa bantuan dan menepati janjinya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Johor (Yang Dipertuan Muda Johor yang pertama).

Penglibatan mereka di Kedah, seperti juga di Johor adalah dalam perselisihan takhta kerajaan. Penglibatan Opu Daeng Perani di Kedah dan berperang dengan Raja Kechil, Yang Dipertuan Siak digambarkan oleh Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu-Bugis serta dalam Hikayat Siak.

Ketika berada di Selangor, Daeng Perani mendapat surat daripada Paduka Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) meminta bantuan. Beliau kemudiannya berangkat ke Riau berbincang dan mesyuarat lima bersaudara. Setelah kelimanya bersetuju, mereka berangkat ke Kedah mengadap ke Bawah Duli Yang Dipertuan Baginda Sultan Muhammad Jiwa. Dalam pertemuan ini, Sultan telah meminta Opu lima bersaudara mengambil alih takhta kerajaan yang diduduki secara tidak sah oleh adinda Baginda sendiri. Sultan Muhammad Jiwa juga berjanji yang Baginda bersedia memberi ganjaran jika berjaya.

Peperangan berlaku diantara angkatan Sultan Muhammad Jiwa yang disokong oleh Opu Bugis lima bersaudara. Peperangan berlarutan sehingga melebihi sebulan. Dengan takdir Allah Taala, angkatan perang ini telah menang menewaskan angkatan adinda Sultan Muhammad Jiwa dan Opu Daeng lima saudara pun pulang Johor, Perak dan Selangor.

Pada 1136 Hijrah (1724 masehi) Opu Bugis lima bersaudara mendapat berita bahawa Raja Kechil Siak berada di Kedah memenuhi jemputan (adinda) Sultan Kedah yang telah kalah membantu baginda merampas semula takhta Kerajaan Kedah. Opu Bugis lima bersaudara kembali membantu Sultan Muhammad Jiwa memerangi barisan pimpinan Raja Kecil Siak. Pada waktu ini juga, Opu Daeng Perani telah pun bernikah dengan adinda perempuan kepada Sultan Kedah iaitu Tunku Aishah.

Peperangan ini berlarutan selama dua tahun. Sekali lagi angkatan Raja Kechil Siak telah kalah dalam peperangan ini dan telah berundur kembali ke Siak. Kuasa Allah Taala melebihi segalanya, Daeng Perani juga turut terkorban dalam peperangan itu. Setelah Perang tamat, Daeng Chelak dan saudaranya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah mengebumikan jenazah Opu Daeng Perani. Seterusnya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah memohon kepada Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa untuk beliau pulang ke Riau. Dengan itu, Daeng Marewah dan angkatan Bugis kembali ke Riau.

Jadi adakah mungkin kalau-kalau keluarga Ayahanda berasal dari perkahwinan Opu Daeng Perani bersama Tunku Aishah ini (kerana banyak menyimpan barangan dari Istana Kedah sendiri) yang kemudiannya menerbitkan jurai-jurai keturunan berikutnya: Arif turun kepada Tok Lebai Ishak turun kepada Tok Abdullah turun kepada Tok Wan Hashim turun kepada Muhammad Salleh turun kepada Muhammad Farul Azri..? Wallahualam.. Hanya Allah yang maha mengetahui segalanya. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat aku rakamkan sekitar kawasan makam Opun Daeng Perani. Al fatihah buat semua arwah-arwah yang telah kembali menghadap Ilahi..

Panpan tanda di luar kawasan Makam Opu Daeng Perani.

Panpan tanda di luar kawasan Makam Opu Daeng Perani.

Batu tugu di hadapan makam.

Batu tugu di hadapan makam.

Penulis bergambar kenangan di Makam Opu Daeng Perani.

Penulis bergambar kenangan di Makam Opu Daeng Perani.

Balai makam yang kini terjaga rapi.

Balai makam yang kini terjaga rapi.

Kawasan perkuburan di sekitar Makam Opu Daeng Perani.

Kawasan perkuburan di sekitar Makam Opu Daeng Perani.

Leave Comments