Pages Navigation Menu

Seni Ikatan Tanjak atau Destar Melayu

Posted on Oct 29, 2011 | 19 comments

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Baru-baru ini ada seorang sahabat tanya pada aku, “Tak ada sesiapa ke yang sudi buatkan satu kelas untuk mengajar cara-cara mengikat tanjak Melayu ni? Kalau tak ada yang sudi mengajar, macam mana budaya warisan Melayu ni nak dipelihara dan macam mana anak-cucu nak kenal budaya bangsa..?”

Aku hanya mampu tersenyum sambil perhatikan sahabat tu. Betul apa yang dikatakannya tu. Lalu aku pun menjawab, “Di Malaysia sekarang ni hanya tinggal beberapa kerat sahaja lagi orang yang masih tahu mengikat tanjak Melayu. Kebanyakkannya dari mereka-mereka ini semuanya dah separuh abad umurnya. Dah tua. Mana mampu lagi nak buat kelas mengajar. Yang masih muda-muda yang aku tahu adalah dua-tiga orang. Seorang namanya Muhammad Yatim Mustaffa, di Kedah, seorang lagi yang aku kenal ada di Wisma Yakin, Kuala Lumpur yang mampu membuat pelbagai jenis ikatan tanjak atau destar Melayu.. Mereka-mereka ini semuanya sibuk saban hari dengan kerjaya masing-masing. Sama juga macam aku, kesibukkan di pejabat menghalang aku untuk mengadakan kelas ikatan tanjak. Sedang nak turun gelanggang bersilat pun sekarang ni aku kena curi-curi masa.. Haha.” Balas aku sambil ketawa besar..

Tapi inilah realiti dan senario yang dapat kita lihat hari ini. Ramai sebenarnya pembuat tanjak di Malaysia ni, tapi rata-ratanya ramai yang hanya kenal dan tahu cara melipat ‘Dendam Tak Sudah’ sahaja kerana itu sahajalah ikatan tanjak yang popular di kalangan raja sehari. Jadi Mak Andam dan Pak Andam pun dah malas nak ambil tahu jenis-jenis lipatan dan ikatan yang lain. Sayang seribu kali sayang.. Tapi apa daya kita?

Setelah beberapa minggu aku mencari di internet kalau-kalau ada di tunjukkan cara mengikat atau membuat tanjak (gambar atau video) aku hanya menemui dua sahaja. Satu video ‘Tanjak Making In Pekan‘ yang menunjukkan cara pembuatan ‘Lang Menyusur Angin’ dan satu lagi berjudul ‘Tengkolok’ (yang ternyata salah teknik yang dibuat oleh anak muda tersebut). Di sebabkan atas kesibukkan aku juga, aku sendiri gagal mengadakan kelas-kelas lipatan dan ikatan tanjak Melayu. Tapi apa yang termampu aku lakukan hanyalah dengan menghasilkan rakaman video ini yang Inshaallah boleh menunjukkan cara yang mudah difahami oleh orang ramai mengenai cara sebenar mengikat tanjak atau destar atau tengkolok..

Semoga dengan cara mudah ini, kita dapat berusaha bersama untuk melestarikan dan memelihara warisan budaya bangsa Melayu ini. Sebar-sebarkan lah video ini agar menjadi kegunaan buat semua. Amin dan Inshaallah!

Leave Comments

Tempahan Tanjak atau Destar Melayu

Posted on Oct 25, 2011 | 13 comments

Alhamdulillah.. Akhirnya aku mula rasa ada keyakinan untuk membuka tempahan ‘seni kain kepala’ kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki tanjak atau destar Melayu yang dibuat sepenuhnya dengan kaedah tradisional (kecuali teknik gerus). Setelah lebih 10 tahun aku mengkaji dan meneliti kerja kraf bangsa Melayu, kini aku bersedia untuk menerima tempahan.

Antara jenis-jenis bentuk, rekaan dan ikatan tanjak atau destar yang (Inshaallah sehingga setakat ini) mampu dibuat oleh aku adalah seperti berikut:

  1. Lang Menyusur Angin
  2. Tenggek Lang Melayang
  3. Lang Patah Sayap
  4. Dendam Tak Sudah
  5. Ayam Teleng
  6. Naga Emas
  7. Balung Raja
  8. Balung Ayam
  9. Sekelongsong Bunga
  10. Ayam Patah Kepak
  11. Ikatan Laksamana
  12. Pucuk Pisang
  13. Belalai Gajah
  14. Putera Kayangan
  15. Belah Mumbang

Untuk satu jenis ikatan tanjak masa yang aku ambil ialah sekitar 5-7 jam (bergantung kepada jenis lipatan dan jahitan) dan antara teknik-teknik terpilih yang aku gunakan sepanjang tempoh pembikinan tanjak atau destar ini ialah:

  1. Berada dalam keadaan bersih dan berwudhuk
  2. Dimulakan dengan bacaan Bismillah, Fatihah, 4 Qul dan Ayat Qursi
  3. Disambung dengan selawat ke atas Nabi junjungan Muhammad Rasulullah SAW
  4. Disambung dengan Zikrullah sepanjang pembikinan

Kemudian ianya disambung dengan teknik-teknik lipatan, ikatan dan jahitan Melayu tradisional sebelum siap sepenuhnya iaitu:

  1. Langkah bermula
  2. Risik melangkah
  3. Risik bertemu
  4. Cincin dikembang
  5. Lambai kasih
  6. Kasih berjawab
  7. Kasih bermula
  8. Bertemu kasih
  9. Gelombang kasih
  10. Lambaian kasih

Perkhidmatan tempahan tanjak atau destar yang aku sediakan ini menggunakan kain-kain songket terpilih seperti songket bunga tabur, songket bunga dalam dan songket bunga penuh. Setiap tempahan tanjak akan didatangkan sekali dengan kain sampin songket lepas dari bunga dan corak yang sama dengan tanjak tersebut. Memandangkan aku melakukan kerja-kerja mengikat tanjak ini seorang diri, jadi setiap tempahan hanya mampu disiapkan dalam masa dua minggu selepas tarikh yang dipersetujui bersama.

Harga bagi jenis-jenis ikatan tanjak atau destar ini adalah berbeza mengikut jenis kain dan juga jenis lipatan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila berhubung secara peribadi melalui borang di sini atau tinggalkan komen dibawah.

Wassalam.

Leave Comments

Di Atas Runtuhan Kota Melaka

Posted on Oct 21, 2011 | 0 comments

Di atas runtuhan Melaka lama
Penyair termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebesaran nenek bahari

Di atas munggu yang ketinggian
Penyair duduk termenung seorang
Jauh pandangku ke pantai sana
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak mentilau bernyanyi
Murai berkicau bayu merayu
Kenang melayang ke alam sunyi
Teringat zaman yang lama lalu

Sunyi dan sepi, hening dan lingau
Melambai sukma melenyai tulang
Arwah Hang Tuah rasa menghimbau
Menyeru umat tunduk ke Tuhan

Di sini dahulu alat kebesaran
Adat resam teguh berdiri
Duduk semayam Yang Dipertuan
Melimpahkan hukum segenap negeri

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu jati
Jaya perkasa, gagah dan mewah
‘Tidak Melayu hilang di bumi’

Di sini dahulu payung terkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara yang cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara

Penyair menghadap ke laut lepas
Selat Melaka tenang terbentang
Awan berarak riak menghempas
Mentari turun rembanglah petang

Wahai tuan Selat Melaka
Mengapa tuan berdiam diri?
Tidakkah tahu untung hamba
Hamba musafir datang ke mari

Di mana Daulat Yang Dipertuan
Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat
Mana Bendahara johan pahlawan
Bukankah jelas di dalam babad

Namanya tetap jadi sebutan
Bekasnya hilang payah mencari
Sedikit penyair bertemu kesan
Musnah dalam gulungan hari

Mengapa ini bekas yang tinggal
Umat yang lemah terkatung-katung
Hidup menumpang tanah terjual
Larat wahai larat dipukul untung

Adakah ini bekas peninggalan
Belahan diriku umat Melayu
Lemah dan lungai tiada karuan
Laksana bunga terkulai layu

Jauh di darat penyair melihat
Gunung Ledang duduk termangu
Tinggi menjulang hijau dan dahsyat
Hiasan hikayat nenekku dahulu

Di dalam kuasyik merenung gunung
Di dalam kemilau panas kan petang
Tengah khayal dirundung menung
Rasanya ada orang yang datang

Penyair hanya duduk sendiri
Tapi keliling rasanya ramai
Bulu romaku rasa berdiri
Berubah warna alam yang permai

Ada rasanya bisikan sayu
Hembusan angin di Gunung Ledang
Entah puteri datang merayu
Padahal beta bukan meminang

Bukanlah hamba Sultan Melaka
Jambatan emas tak ada padaku
Kekayaanku hanya syair seloka
Hanya nyanyian untuk bangsaku

Justeru terdengar puteri berkata
Suaranya halus masuk ke sukma
Maksudmu tuan sudahlah nyata
Hendak mengenang riwayat yang lama

Bukan kuminta jambatan emas
Tapi nasihat hendak kuberi
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari

Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri

Sultan Mahmud Shah mula pertama
Meminang diriku ke Gunung Ledang
Segala pintaku baginda terima
Darah semangkuk takut menuang

Adakan cita akan tercapai
Adakan hasil yang diingini
Jika berbalik sebelum sampai
Mengorbankan darah tiada berani

Apalah daya Datuk Bendahara
Jikalau Sultan hanya tualang
Memikir diri seorang sahaja
Tidak mengingat rakyat yang malang

Sultan Ahmad Shah apalah akalnya
Walaupun baginda inginkan syahid
Mualim Makhdum lemah imannya
‘Di sini bukan tempat Tauhid’

Bendahara Tua Paduka Raja
Walaupun ingin mati berjuang
Bersama hilang dengan Melaka
Anak cucunya hendak lari pulang

Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba

Ini sebabnya umat akan jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak belian orang

Sakitnya bangsa bukan di luar
Tetapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apalah daya

Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman

Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa

Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri

Riwayat yang lama tutuplah sudah
Apalah guna lama terharu
Baik berhenti bermenung gundah
Sekarang dibuka lembaran baru

Habis sudah madahnya puteri
Ia pun ghaib capal pun hilang
Tinggal penyair seorang diri
Di hadapan cahaya jelas membentang

Pantai Melaka kulihat riang
Nampaklah ombak kejar-mengejar
Bangunlah Tuan belahanku sayang
Seluruh Timur sudahlah besar

Bercermin pada sejarah moyang
Kita sekarang mengubah nasib
Di zaman susah atau pun riang
Tolong tetap dari Yang Ghaib

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

Bukanlah kecil golongan tuan
Tujuh puluh juta Indonesia
Bukan sedikit kita berteman
Sudahlah bangun bumi Asia

Kutarik nafas, kukumpul ingatan
Aku pun tegak dari renungku
Jalan yang jauh aku teruskan
Melukis riwayat sifat hidupku

Kota Melaka tinggallah sayang
Beta nak balik ke Pulau Percha
Walau terpisah engkau sekarang
Lambat launnya kembali pula
Walaupun luas watan terbentang
Danau Maninjau terkenang jua

Oleh:
Haji Abdul Malik Karim Amrullah
(17 Februari 1908 – 24 Julai 1981)

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para kekasihNya Maha Pencipta dan sentiasa dilindungi dan dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Leave Comments

Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu Sulalat Al-Salatin & Hikayat Hang Tuah

Posted on Oct 20, 2011 | 4 comments

Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu – Sulalat Al-Salatin & Hikayat Hang Tuah
Seri Negeri,
Ayer Keroh, Melaka,
1 & 2 November 2011 (Selasa dan Rabu)

Anjuran Yayasan Karyawan
bersama Kerajaan Negeri Melaka
dengan Kerjasama
Akedemi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Risalah maklumat dan borang penyertaan boleh dimuat turun dengan klik disini.

Para pembentang kertas kerja untuk persidangan dua hari ini terdiri daripada:

  1. Dr. Shaharuddin Maarof
    Akedemi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
  2. Proffesor Emeritus Datuk Wira Dr Yusoff Hashim
    Kolej Universiti Islam Melaka
  3. Proffesor Datuk Dr. Md Salleh Yaapar
    Universiti Sains Malaysia
  4. Professor Emeritus Dr. E. Ulrich Kratz
    SOAS London, United Kingdom
  5. Professor Liang Liji
    Universiti of Beijing, China
  6. Professor Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid
    Kuala Lumpur
  7. Uztaz Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady
    Institute of Islamic Thought & Civilization, Universiti Islam Antarabangsa
  8. Professor Dr. Heddy Ahri Ahimsa Putra
    Universitas Gadjah Mada, Indonesia
Leave Comments

Hari Lahir dan Sejarah Melayu

Posted on Oct 8, 2011 | 0 comments

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Allah Taala..

Setelah dua hari aku terbaring di rumah (tanpa dapat berjalan langsung – selain dari menggigil kesejukkan seluruh badan walau sudah berselimut tebal) akibat demam panas yang teruk sehingga suhu badan mencecah 43 darjah selsius, akhirnya Allah Taala memberi keizinan pada aku menikmati subjek kegemaran aku iaitu sejarah dan untuk turut serta dalam Seminar Sejarah Penubuhan Kerajaan Melayu Melaka oleh Professor Madya Haji Abdul Rahman Haji Ismail di Banggunan Induk Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur.. Syukur Alhamdulillah.

Kebetulan pula tarikh seminar ini jatuh pada tarikh kelahiran aku iaitu 8hb Oktober dan memandangkan yang aku sememangnya tiada rancangan-rancangan lain, makanya aku melangkah terus ke Wisma Sejarah bagi mengisi kekosongan hati dan jiwa yang meronta-ronta minta diisi dengan urusan ilmiah..

Dalam seminar ini, Professor Madya Haji Abdul Rahman telah mengemukakan satu tarikh baru penubuhan Kerajaan Melayu Melaka iaitu pada tahun 1262, seratus empat puluh tahun lebih awal dari tarikh asal iaitu 1402. Mengikut kajiannya, beliau telah menjadikan Sulalatus As Salatin, simpanan Raja Bongsu (salinan A Samad Ahmad) sebagai rujukkan utama selain dari salinan-salinan lain. Dengan mengambil kira tarikh nahasnya Kerajaan Melaka iaitu tahun 1511, beliau telah menolak (dalam perkiraan) setiap Sultan yang memerintah Melaka sehinggalah saat awalnya di dalam pemerintahan Sultan Megat Iskandar Shah (Parameswara) lalu terjumpalah tarikh 1262 tersebut..

Kalau-kalau ini satu kebenaran, makanya sejarah sekolah dan universitas terutamanya yang ditulis penjajah British perlu dirombak semula agar anak cucu tidak tersasau lagi mencari sejarah.. Sempat juga aku lontarkan soalan betah aku sewaktu dalam seminar tadi, tapi nampak gayanya Professor lebih gemar memberi jawaban selamat.. Hehehe.. Apa-apa pun, Inshaallah kita bertemu lagi nanti dalam Seminar Sulalatus As Salatin dan Hikayat Hang Tuah yang akan diadakan di Melaka awal November 2011 nanti..

Selamat hari jadi buat diri aku sendiri.. Dan selamat menemui bukti-bukti baru dalam lembaran Sejarah Melayu..!

Leave Comments